Sidang Bandar Raya Pintar di KL, September ini

Sidang Bandar Raya Pintar di KL, September ini

NEW DELHI, 26 Julai (Bernama) – Hampir 1,000 pakar perancang bandar, pembekal penyelesaian teknologi dan pemaju bandar raya pintar dari rantau Asia dijangka menghadiri Persidangan dan Pameran Antarabangsa India di Kuala Lumpur (KL) pada 29 dan 30 September ini.

Francis Rajah, pengarah urusan Global I Smartcites Sdn Bhd, penganjur pameran dan persidangan yang julung kali diadakan itu, berkata ia akan menjadi platform bagi semua pemegang taruh untuk bertukar-tukar pengalaman dalam mempromosi dan membangunkan bandar raya pintar pada masa akan datang.

“Tujuan kami menghimpunkan semua mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam projek bandar raya pintar ialah untuk membincangkan arah tuju masa depan dan teknologi terkini yang boleh diguna pakai dalam pelaksanaan projek ini,” katanya.

Menurut beliau, pakar yang terlibat dalam projek bandar raya pintar seperti Masdar City, Abu Dhabi Emiriah, Arab Bersatu dan Toyota City, Jepun, akan berkongsi cabaran yang dialami mereka dalam membangunkan bandar raya itu dengan para peserta lain.

“Penceramah dari Songdo City, Korea Selatan juga bersetuju menghadiri pameran ini, yang kami jangka turut dihadiri para peserta bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga seluruh rantau Asia,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pembangunan Bandar India, Venkaiah Naidu di sini.

Menteri itu dijangka menyampaikan ucap tama mengenai program perbandaran India pada persidangan tersebut.

Rajah berkata Global I Smartcities Sdn Bhd, melalui rancangan komprehensif lima tahunnya, bukan sahaja akan mempromosikan bandar raya pintar di Malaysia, tetapi juga di Indonesia dan India.

ARTIKEL YANG SAMA