Sidang kemuncak iklim 30 Nov ini

Sidang kemuncak iklim 30 Nov ini

PARIS, 23 Nov (AFP) – Bahang keganasan daripada serangan pengganas paling teruk dalam sejarah Perancis masih lagi dirasai, tatkala Paris akan menjadi tuan rumah kepada pertemuan hampir 140 pemimpin dunia minggu depan untuk menerajui pakatan iklim demi menjaga kestabilan bumi.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Ahad lalu menggesa orang lain untuk mengikuti teladannya dan datang ke ibu negara Perancis untuk membuktikan bahawa ‘keganasan tidak akan menghentikan dunia daripada melakukan urusan yang penting.’

Tiada ketua negara atau kerajaan yang menarik diri daripada pembukaan pertemuan pada 30 November itu selepas serangan pengganas membunuh 130 orang hanya lebih seminggu yang lalu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata baru-baru ini.

“Sebaliknya, negara yang tidak memberi jawapan sebelum ini telah berkata mereka akan datang kerana kita tidak boleh tunduk kepada keganasan,” katanya.

Dengan kesibukan beberapa isu keganasan terhadap serangan pelampau baru-baru ini di seluruh dunia, pemimpin-pemimpin dunia nampaknya perlu memberi fokus kepada persidangan iklim yang diadakan selama 12 hari itu.

Persidangan sangat dinantikan untuk menetapkan masalah yang mengancam kesejahteraan penduduk dunia terhadap pemanasan global.

Selepas enam tahun rundingan persediaan, 195 negara yang berkumpul di bawah bendera PBB masih mempunyai pendapat yang berbeza-beza di atas isu yang saling berkaitan.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi halangan, di mana rundingan boleh membawa kepada kegagalan. Seperti biasa, yang pertama adalah wang.