Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC bermula hari ini

Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC bermula hari ini

JAKARTA, 6 Mac (Bernama) – Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif selama dua hari di Jakarta, membuka tirainya hari ini dengan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) yang dihadiri para pegawai kanan dari 55 negara anggota OIC.

Delegasi Malaysia dari Kementerian Luar diketuai menterinya, Datuk Seri Anifah Aman, menghadiri mesyuarat itu, yang akan disusuli dengan Mesyuarat Peringkat Menteri, esok.

Sidang kemuncak luar biasa ini diadakan atas permintaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, untuk menangani pendudukan haram Israel di wilayah Palestin serta tindakannya menceroboh Masjid Al-Aqsa.

Gambar ramai delegasi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jakarat, Indonesia, bagi membincangkan isu-isu di Palestin. – Reuters
Gambar ramai delegasi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jakarat, Indonesia, bagi membincangkan isu-isu di Palestin. – Reuters

Sidang kemuncak ini juga bertujuan mencari pendekatan dan strategi baharu bagi menghalang pendudukan Israel secara haram di bumi Palestin serta untuk membela nasib rakyat Palestin. Malaysia berharap sidang kemuncak ini akan membuahkan kejayaan ketara.

Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak ini membuktikan komitmen padunya dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, terutama hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negaranya.

Sebagai sebuah daripada negara pengasas OIC, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam pertubuhan itu dalam menangani isu Palestin di forum antarabangsa.