Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN+ dirasmi

Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN+ dirasmi

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, kelmarin, telah menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Muda ASEAN+ di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dengan tema Belia Penggerak Komuniti ASEAN, sidang kemuncak berkenaan diadakan tatkala ASEAN melangkah ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN.

Perasmian sidang kemuncak berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Lebih daripada 300 belia dari negara-negara anggota ASEAN, sembilan rakan dialog (Australia, Kanada, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat) dan Timor Leste, menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Sementara itu, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh 10 orang belia dari pelbagai sektor yang berkaitan dengan empat tunggak persidangan tersebut, iaitu kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan pendidikan serta pekerjaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (kanan) ketika menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Muda ASEAN+ di Pusat Perdagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur, Malaysia.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (kanan) ketika menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Muda ASEAN+ di Pusat Perdagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur, Malaysia.

pg05_151120_c

Yang Berhormat Pehin bersama para pegawai dan delegasi Belia Brunei.
Yang Berhormat Pehin bersama para pegawai dan delegasi Belia Brunei.

Persidangan yang diadakan sempena Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN itu bertujuan untuk menyediakan platform bagi para belia dari pelbagai latar belakang berinteraksi, berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai berbagai-bagai isu dan cabaran yang dihadapi di rantau ini, terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan belia.

Menerusi persidangan itu, Manifesto Belia bagi ASEAN dihasilkan yang merangkumi satu set cadangan-cadangan ringkas lagi padat, boleh dilaksanakan dan mendalam, yang akan dihadapkan kepada pemimpin-pemimpin negara pada Sidang Kemuncak ASEAN.

Semasa menghadiri persidangan itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri mengulangi komitmen mereka untuk terus mengukuhkan hubungan rapat di antara kedua-dua buah negara dan meneroka bidang-bidang kerjasama baru untuk dilaksanakan terutamanya dalam bidang pembangunan belia dan sukan.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin ke persidangan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan para pegawai kanan KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA