Sidang kemuncak pertama editor ASEAN di KL bermula esok

Sidang kemuncak pertama editor ASEAN di KL bermula esok

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) – Malaysia buat julung kalinya diberi penghormatan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Editor ASEAN 2016 selama dua hari bermula esok.

Persidangan bertemakan ‘Menghubungkan Komuniti ASEAN Menerusi Media’ di sebuah hotel di sini akan dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Menurut Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zakaria Abdul Wahab, persidangan tersebut merupakan kerjasama antara Bernama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Sekretariat ASEAN.

Ketika ditemui Bernama hari ini, Zakaria berkata Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. AKP Mochtan dijadual hadir bagi menyampaikan ucapan masing-masing esok.

Terdapat empat sesi perbincangan disertai 16 penceramah dari negara ASEAN antaranya Pengarah Sekretariat ASEAN (Indonesia) Lee Yoong Yoong dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah.

Turut serta Ketua Pengarang Phnom Penh Post Chad David Williams, Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan Filipina Jose Joel Sy Egco, Ketua Pengarang Agensi Berita Antara Indonesia, Aat Surya Safaat dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid.

Zakaria berkata tajuk perbincangan adalah ‘Engaging the Media to Boost the ASEAN Community’ (Pembabitan Media Untuk Melonjakkan Komuniti ASEAN), ‘Driving ASEAN Economic Integration’ (Memacu Integrasi Ekonomi ASEAN), ‘Promoting ASEAN’S Cultural Identity’ (Menggalakkan Identiti Budaya ASEAN) dan ‘Promoting One ASEAN Community Among ASEAN Media’ (Menggalakkan Komuniti Satu ASEAN Dalam Kalangan Media ASEAN).

Katanya turut diadakan pada hari terakhir persidangan adalah Dialog Meja Bulat Editor ASEAN disertai 10 penceramah bagi membincangkan mengenai ‘Forging Stronger Networking Among ASEAN Media’ (Memupuk Rangkaian Lebih Padu Dalam Kalangan Media ASEAN).

Kira-kira 200 peserta penggiat industri media dari negara ASEAN dijangka menyertai sidang kemuncak itu, katanya.

Zakaria berkata sidang kemuncak itu akan menjadi platform penyatuan penggiat industri media negara-negara anggota ASEAN bagi berkongsi maklumat, kepakaran serta kajian masing-masing.