Sidang Kemuncak Tergempar OIC 6 Mac

Sidang Kemuncak Tergempar OIC 6 Mac

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) – Malaysia akan menyertai Sesi Ke-5 Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif di Jakarta selama dua hari mulai 6 Mac ini, bagi membincangkan tindakan menangani isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi negara ke sidang kemuncak tergempar di ibu negara Indonesia itu, yang diadakan atas permintaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagi menangani pencerobohan berleluasa rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

“Ia dijangka membincangkan pendekatan dan strategi baharu bagi menghentikan penaklukan haram secara berterusan oleh rejim Israel di Palestin, serta menangani isu kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Palestin,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan Jumaat.

Penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak tergempar itu membuktikan komitmen kukuh negara mempertahankan hak-hak rakyat Palestin terutamanya hak menubuhkan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin.