Sidang MMN di...

Sidang MMN ditangguh

Oleh Sim Y. H.

 

MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menamatkan sidangnya hari ini selepas 11 hari bersidang dan seterusnya ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Majlis turut meluluskan sebulat suara peruntukan belanjawan negara berjumlah $5.3 bilion bagi tahun kewangan 2017/2018 yang akan berkuat kuasa pada April ini. Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib (gambar atas)  dalam ucapan penangguhan Persidangan MMN hari ini berkata, dalam melihat keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, kita perlu melipatgandakan usaha dan haruslah berwaspada terutamanya terhadap harga minyak dunia yang tidak stabil umpamanya.

Dalam hubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli MMN agar bekerjasama secara berpasukan untuk terus giat memikirkan dalam mempelbagaikan ekonomi Negara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dalam ucapan penangguhannya pula berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang terus mengalami cabaran harga minyak dan gas yang rendah, salah satu keutamaan kerajaan dalam jangka masa pendek ini ialah untuk mencapai keseimbangan fiskal.

Ke arah itu, dalam pengurusan kewangannya, kerajaan akan terus mengamalkan dasar perbelanjaan berhemah (prudent spending) dan seterusnya memastikan perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan akan memberikan manfaat dan impak yang optimum kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.

“Dalam Pembentangan Cadangan Belanjawan Tahun 2017/2018, kita telah menggariskan fokus-fokus utama perbelanjaan kerajaan yang antaranya termasuk untuk mendukung dasar mempelbagaikan ekonomi negara, meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran rakyat dan penduduk.

“Ini kerana, sektor swasta yang kukuh akan bertindak menjadi jentera peneraju pertumbuhan ekonomi yang diharapkan akan dapat menyumbang kepada peningkatan pelaburan modal (capital formation) dan akan menjana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan.

“Selaras dengan perancangan dan keperluan inilah jua, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang diperlukan, walaupun diunjurkan akan terus mengalami kedudukan defisit bagi tahun kewangan 2016/2017 dan tahun kewangan yang akan datang (2017/2018),” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin berkata, dalam perkara ini, seperti di tahun-tahun sebelumnya, beliau masih lagi berharap dan tertunggu-tunggu untuk mendengar lebih banyak cadangan dan saranan bernilai tambah daripada ahli-ahli MMN berhubung kait dengan cara kita untuk mengawal situasi defisit pada masa ini, sama ada dari segi meningkatkan hasil, mahupun mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, di situ letaknya peranan semua pihak untuk bersatu padu dan bersatu hati, sebagai pendekatan “Whole of Nation,” untuk sama-sama membantu kerajaan dalam meringankan beban daripada kemelut ekonomi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan terus menyediakan beberapa keperluan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan perumahan di mana kebanyakan kemudahan dan keperluan asas itu telah dihulurkan oleh kerajaan secara subsidi, di mana perbelanjaan sebenar kerajaan adalah lebih tinggi daripada bayaran yang dikenakan kepada penerima atau pengguna.

Namun demikian, jumlah tunggakan daripada pengguna-pengguna yang terdiri daripada pihak swasta dan orang ramai kepada agensi-agensi kerajaan masih juga tinggi di mana setakat ini, keseluruhannya adalah berjumlah kira-kira $461 juta.

Beliau percaya tunggakan itu, jika dilunaskan, akan dapat juga meringankan tanggungan perbelanjaan kerajaan dalam menampung keperluan operasi pemberian perkhidmatan tersebut, serta meningkatkan lagi tahap perkhidmatan tersebut mengikut keperluan semasa.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya ahli-ahli MMN dapat sama-sama membawa ke perhatian anak buah dan komuniti masing-masing mengenai pentingnya tuntutan-tuntutan perkhidmatan kerajaan untuk dilunaskan dalam masa yang ditetapkan, semata-mata bagi keperluan bersama.

Yang Berhormat Pehin semasa membentangkan Rang Anggaran Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2017/2018, juga telah mengongsi mengenai perubahan kepada cukai kastam ke atas beberapa jenis barangan berkuat kuasa mulai 1 April nanti.

Beliau menerangkan bahawa penelitian dan pengemaskinian kadar-kadar cukai eksais itu bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan penduduk negara.

“Antara matlamat tersebut termasuklah bagi mengurangkan beban perbelanjaan bagi golongan berpendapatan rendah, meningkatkan keselamatan bagi pengguna- pengguna jalan raya, menggalakkan permintaan domestik,mengawal penggunaan produk-produk tertentu yang boleh menjejaskan kesihatan awam,mengurangkan kos perniagaan dan lain-lain.”

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menyeru para peniaga untuk tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi dengan menetapkan harga barangan yang tidak selaras dengan perubahan kadar cukai eksais yang dikenakan.

“Jika perkara sedemikian didapati berlaku, pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA