Sidang perpustakaan dirasmi

Sidang perpustakaan dirasmi

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Persidangan Transformasi Perpustakaan: Menonjolkan Potensi Anda sebagai Pustakawan yang diadakan bersempena Ulang Tahun ke-30 Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) dirasmikan hari ini di Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Perasmian persidangan empat hari itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang turut melancarkan enam buah buku baru BLA.

Buku-buku berkenaan termasuk Buku Panduan BLA, Laporan Setiausaha, Artikel Online BLA, Daftar Pustakawan Profesional Brunei, Indeks Wadah Perpustakaan dan buku kenang-kenangan Mesyuarat Agung ke-13.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan anugerah BLA kepada dua penerima iaitu Haji Abdul Talip bin Haji Tassim sebagai penerima anugerah Perpustakaan Bakti dan Dayang Nooralizah binti Haji Mohamad menerima anugerah Perpustakaan Harapan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika melihat buku-buku BLA yang dilancarkan sambil disaksikan  oleh Dayang Nellie.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika melihat buku-buku BLA yang dilancarkan sambil disaksikan oleh Dayang Nellie.
Yang Berhormat Pehin bergambar bersama penerima anugerah BLA.
Yang Berhormat Pehin bergambar bersama penerima anugerah BLA.

Persidangan yang telah bermula semalam hingga 22 September itu dianjurkan oleh BLA dengan kerjasama UTB.

Presiden BLA, Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, persidangan akan mengetengahkan 28 penceramah termasuk penerima anugerah CONSAL Gold dari Thailand, Profesor Dr. Chutima.

“Mereka ini akan berkongsi pengalaman dan membincangkan tema persidangan di samping mengadakan sesi interaktif seterusnya tayangan video mengenai perpustakaan-perpustakaan terbaik dan inovatif di ASEAN untuk menunjukkan amalan terbaik dalam kepustakawanan kepada para peserta,” jelasnya.

Orang ramai yang hadir pada Persidangan Transformasi Perpustakaan sempena Ulang Tahun ke-30 BLA.
Orang ramai yang hadir pada Persidangan Transformasi Perpustakaan sempena Ulang Tahun ke-30 BLA.
Persembahan puisi turut menyerikan lagi perasmian persidangan berkenaan.
Persembahan puisi turut menyerikan lagi perasmian persidangan berkenaan.

Mengulas mengenai tema persidangan, beliau berkata, ia dipilih untuk mengetengahkan isu-isu dan tanggungjawab mencabar pustakawan baru dalam persekitaran yang pantas berubah yang dialami perpustakaan-perpustakaan pada masa ini.

Lebih 100 pustakawan dari sekolah-sekolah, universiti, perpustakaan awam dan jabatan-jabatan kerajaan serta pelajar-pelajar sains perpustakaan dan maklumat dan dari IBTE Kampus Sultan Siful Rijal dan Politeknik Brunei.

Di samping sesi ceramah interaktif, sepanjang persidangan tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan antaranya bazar dan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA