Sifat amanah wajib dalam perniagaan

Sifat amanah wajib dalam perniagaan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Islam menuntut umatnya untuk mencari rezeki melalui jalan baik dan halal, dan antara jalan mencari rezeki yang halal itu ialah berniaga di mana ajaran Islam menyatakan sembilan daripada 10 punca rezeki itu adalah bersumberkan dari perniagaan.

Berniaga adalah pekerjaan yang mulia, malah Rasulullah S.A.W sendiri juga sebelum dilantik menjadi Rasul merupakan seorang peniaga. Begitu juga para sahabat Rasulullah ramai di antara mereka adalah peniaga.

Khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini berkata, salah satu ciri utama yang wajib diamalkan dalam berniaga ialah sifat amanah.

“Inilah yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah ketika berniaga hingga perniagaan Baginda mendapat keuntungan yang besar dan berlipat ganda.

“Baginda sentiasa bersifat amanah, baik dalam hal kehidupan seharian dalam perniagaan dan bersesuaianlah Baginda digelar Al-Amin iaitu orang yang amanah,” jelas Khatib.

Menurutnya, sifat amanah adalah sangat penting kerana ia akan melahirkan seorang peniaga yang terpelihara daripada melakukan perbuatan mungkar dan berdosa seperti melakukan penipuan, pengkhianatan seperti menjual barang yang telah rosak, barang yang telah mansuh tarikhnya, mengurangkan sukatan timbangan dan sebagainya.

Khatib berkata, perbuatan mengurangkan sukatan dan timbangan dikira sebagai mengurangi hak manusia dan dilarang oleh Allah.

Sesungguhnya, tambah Khatib lagi, orang yang jujur dalam berniaga dengan menyukat dan menimbang barangnya dengan sempurna akan mendapat ganjaran daripada Allah, antaranya ialah dengan mendapat berkat dalam kehidupannya dan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.

Manakala orang yang tidak bersifat jujur dalam berniaga pula, akan mendapat dosa, terkeluar daripada umat Nabi Muhammad S.A.W, tiada memperoleh keberkatan hasil perniagaan yang dijalankannya itu dan dijanjikan pula dengan mendapat kecelakaan di akhirat kelak yang berupa azab yang amat pedih.

Menurut Khatib lagi, memang diakui bahawa, manusia itu memiliki kekurangan dan tidak mustahil boleh saja terjadi pengurangan tanpa disengajakan. Jika seorang itu telah berusaha untuk menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan baik tapi jika ia tersilap tanpa disengajakan, tiadalah dia berdosa.

Jelas Khatib, cara untuk mengelakkan dari sebarang kemungkinan berlaku kekurangan dalam sukatan dan timbangan ialah dengan menambah dan melebihkan sedikit dalam sukatan atau timbangan tersebut.

Dengan tambahan dan lebihan tersebut, selamatlah peniaga dari melakukan pengurangan yang dilakukan dengan secara tidak sengaja dan jika pun ternyata sukatan atau timbangan itu sebenarnya telah mencukupi, tambahan itu akan menjadi sedekah.

“Bukankah ganjaran daripada amalan sedekah itu sangat banyak. Dengan amalan tersebut mereka bukan saja mendapat ganjaran yang banyak dari amalan sedekah tapi mendapat kepercayaan dari pembeli dan orang ramai.”

Menurut Khatib lagi, berlaku jujur dalam berniaga itu, bukan saja dari aspek menjaga sukatan dan timbangan nya, ini kerana barang dagangan adalah juga dijual dalam bentuk bungkusan, ikatan dan sebagainya maka peniaga yang berlaku jujur sudah tentu tidak akan mencampur yang baik dengan yang tidak baik atau yang telah rosak.

Berlaku jujur itu termasuklah juga menyatakan secara benar terhadap barang jualan tersebut, semoga dengan sifat jujur itu, hasil pendapatan yang diperolehi akan menjadi lebih berkat.

Peniaga yang jujur dan amanah akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat, keuntungan tersebut walaupun sedikit tapi jika dilaksanakan dengan jalan yang halal, itu adalah lebih baik dari mendapat keuntungan yang banyak tapi dengan jalan yang haram di mana perbuatan tersebut hanya akan mengheret mereka ke api neraka.

ARTIKEL YANG SAMA