Sihat bersama U-Jam Fitness hari ini

Sihat bersama U-Jam Fitness hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai Kanser Payudara di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, Dojo Studio dengan kerjasama Pusat Belia akan menganjurkan program senaman kecerdasan, U-Jam Fitness Masterclass yang pertama di Borneo, bermula jam 8 malam esok (23 Oktober) di ibu negara.

U-Jam Fitness merupakan program tarian atlet menarik yang menyediakan para peserta daripada semua tahap kecergasan senaman bakar kalori dengan iringan muzik rancak dari hip-hop kepada K-pop malah Bollywood.

Program yang disertai oleh lebih 50,000 peserta setiap minggu di seluruh dunia itu, telah ditubuhkan oleh pasangan suami isteri, Susy C dan Matty Marks dari San Jose, California, Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2010.

Semasa program Masterclass itu nanti yang berlangsung selama 90 minit, pelatih U-Jam Fitness, Enrique Salomao akan menunjukkan bakatnya di pentas, memberi inspirasi kepada para peserta untuk menari dan menunjukkan demonstrasi kepada pengajar berpotensi U-Jam ciri-ciri menjadi seorang pengajar hebat.

Turut memberi sokongan dalam aktiviti sihat ini adalah Kingston Beverage and Creamery Sdn Bhd dan Cataleya Trading Company yang akan memastikan peserta Masterclass tidak kehausan sepanjang acara itu. Para peserta yang ingin mengikuti acara senamrobik yang menyeronokkan ini bolehlah mendapatkan tiket-tiket yang masih dibukakan dengan harga $20 setiap seorang, dan penganjur turut menasihatkan kepada para peserta agar menyarungkan pakaian sukan dan kasut yang sesuai untuk mengurangkan risiko kecederaan.

Pelatih U-Jam Fitness, Enrique Salomao bakal menunjukkan bakatnya di pentas hari ini.
Pelatih U-Jam Fitness, Enrique Salomao bakal menunjukkan bakatnya di pentas hari ini.