Sihat dalam semua dasar

Sihat dalam semua dasar

GENEVA, Switzerland, 24 Mei – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-69 di Geneva, Switzerland yang telah mula bersidang semalam.

Perhimpunan Kesihatan Sedunia tahun ini yang membawa tema ‘Transforming the World: The 2030 Agenda for Sustainable Development’ dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil dari 194 buah negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, dalam ucaptama pada sesi plenari di perhimpunan tersebut, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain telah menyampaikan sokongan padu Negara Brunei Darussalam bagi Agenda Pembangunan Berdaya Tahan 2030 yang dihasratkan untuk menerajui sektor kesihatan ke arah pelaksanaan rangka kerja yang lebih holistik.

Matlamat Pembangunan Berdaya Tahan (SDGs) mengetengahkan kepentingan kesihatan dalam semua dasar (Health in all policies) dan kerjasama yang efektif antara pelbagai sektor untuk merealisasikan pencapaian kesihatan terutama dalam menangani cabaran-cabaran penyakit tidak berjangkit.

Kejayaan perlaksanaan dasar dan strategi memerlukan satu anjakan paradigma yang antara lain menghendaki kepimpinan luar daripada lingkungan sektor kesihatan yang sama-sama dapat menghasilkan perubahan untuk menjana penduduk yang lebih bermotivasi dan melibatkan diri dalam hal ehwal kesihatan.

Kejayaan perlaksanaan dasar dan strategi memerlukan satu anjakan paradigma yang antara lain menghendaki kepimpinan luar daripada lingkungan sektor kesihatan yang sama-sama dapat menghasilkan perubahan untuk menjana penduduk yang lebih bermotivasi dan melibatkan diri dalam hal ehwal kesihatan. - Gambar Hiasan
Kejayaan perlaksanaan dasar dan strategi memerlukan satu anjakan paradigma yang antara lain menghendaki kepimpinan luar daripada lingkungan sektor kesihatan yang sama-sama dapat menghasilkan perubahan untuk menjana penduduk yang lebih bermotivasi dan melibatkan diri dalam hal ehwal kesihatan. – Gambar Hiasan

Kepentingan pendekatan secara menyeluruh ke arah pencapaian SDGs adalah sejajar dengan tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu memupuk konsep ‘Kesihatan adalah Tanggungjawab Semua’; mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit; dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang melalui penyejajaran dan penyepaduan.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain juga menyatakan mengenai usaha penelitian semula secara komprehensif dan penggubalan struktur baru organisasi bagi memastikan ia menepati tujuan.

Menurut beliau, sudah menjadi matlamat Kementerian Kesihatan untuk memperkasa individu dan masyarakat supaya bertanggungjawab ke atas kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.

Seterusnya, Menteri Kesihatan juga menyatakan mengenai kepentingan reka bentuk pilihan (choice architecture) dengan berasaskan pengetahuan kesihatan bagi mendorong individu membuat pilihan yang lebih sihat untuk diri dan keluarga mereka.

Antara isu-isu yang dibincangkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69 ini adalah mengenai Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-kanak; Draf Pelan Tindakan Global mengenai Keganasan; Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit; Kesihatan di Agenda Pembangunan Berdaya Tahan Tahun 2030; Pengukuhan Fungsi Asasi Kesihatan Awam dalam Mendokong Pencapaian Penjagaan Kesihatan secara Universal dan Kesiapsiagaan, Pemantauan dan Tindak Balas kepada Penyakit-penyakit Berjangkit.

Sebelum menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-69, Yang Berhormat Dato juga mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam bagi Mesyuarat Komanwel Menteri-menteri Kesihatan ke-28 yang bersidang pada 22 Mei 2016 di Geneva, Switzerland.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan para pegawai kanan dari 53 buah negara anggota Komanwel dan wakil-wakil dari pelbagai agensi antarabangsa.

Tema Mesyuarat Komanwel Menteri-menteri Kesihatan pada tahun ini ialah ‘Keselamatan Kesihatan dan Akses kepada Penjagaan Kesihatan Secara Universal.’

ARTIKEL YANG SAMA