Sijil, label halal perlu sentiasa dipatuhi

Sijil, label halal perlu sentiasa dipatuhi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Bagi memantapkan lagi jaminan sijil halal kepada orang ramai khususnya kepada restoran-restoran halal di negara ini, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan sesi taklimat yang berlangsung di Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

Taklimat bertajuk ‘Pengukuhan Kefahaman Sijil Halal dan Label Halal’ yang disasarkan kepada pengusaha-pengusaha tempatan terutama pemilik restoran itu telah disampaikan oleh dua orang pegawai dari Bahagian Kawalan Makanan Halal, iaitu Dayangku Nurul Khairunisa binti Pengiran Karim dan Dayang Nursyafiqah binti Abdul Latif.

Ia dikhususkan kepada pengusaha-pengusaha makanan dan minuman yang sudah mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dengan tujuan untuk memberikan kefahaman yang komprehensif kepada para pengusaha dalam bidang pemakanan, syarat dan kehendak sijil halal dan label halal.

Antara pengusaha-pengusaha yang hadir.
Antara pengusaha-pengusaha yang hadir.
Dayangku Nurul Khairunisa semasa menyampaikan taklimat ‘Pengukuhan Kefahaman Sijil Halal dan Label Halal’ kelmarin.
Dayangku Nurul Khairunisa semasa menyampaikan taklimat ‘Pengukuhan Kefahaman Sijil Halal dan Label Halal’ kelmarin.

Taklimat yang disampaikan itu merangkumi tentang tatacara untuk mendapatkan kebenaran daripada MUIB dan sebarang perubahan yang bersangkut-paut dengan sijil halal serta tatacara permohonan membaharui sijil yang akan mansuh.

Turut disentuh, kaedah-kaedah penyucian najis mengikut hukum Syarak serta kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, secara aktif menjalankan audit pemantauan secara mengejut ke atas premis-premis yang sudah memiliki sijil halal bagi memastikan kehendak dan syarat sijil halal dan label halal sentiasa dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha makanan dan minuman yang sudah bersijil halal.

Taklimat anjuran Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah itu telah dihadiri oleh lebih daripada 100 orang pengusaha tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA