Sikap berhati mulia jadikan Singapura terang bersinar

Sikap berhati mulia jadikan Singapura terang bersinar

pg12_160208_a

SINGAPURA, 7 Feb – Singapura milik semua dan sikap berhati mulia membuat pulau kecil ini bersinar dengan terang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong (gambar).

Menurut beliau, Singapura didefinisikan oleh sikap warga terhadap satu sama lain dan apa yang mereka sanggup lakukan demi orang lain.

Dalam amanat Tahun Baru Cina hari ini, Lee mengongsi pengalamannya bertemu finalis anugerah Tokoh Singapura 2015 anjuran akhbar The Straits Times minggu lalu yang antara lain merangkumi jururawat yang mempertaruhkan nyawanya bagi menjaga pesakit Ebola di Sierra Leone, dan jurujual Noriza A. Mansor, yang membersihkan najis seorang warga emas.

Menurut Lee, mereka tidak fikir apa yang mereka lakukan itu adalah istimewa.

Dengan membantu orang lain dan mendorong lebih ramai lagi, mereka telah membawa perubahan kepada Singapura dan kepada dunia, kata beliau.

“Bagaimana kita melayan satu sama lain dan apa yang kita sedia lakukan untuk orang lain mendefinisikan siapa diri kita. Negara ini milik semua, dan dibentuk oleh kita.

“Sikap berhati mulia yang membuat titik merah kecil ini terang bersinar,” ujar k Lee.

Dalam amanatnya, Lee turut memberi jaminan bahawa pemerintah akan terus menyokong perniagaan dan pekerja sedang mereka menstruktur semula dan meningkatkan diri.

Beliau berkata pemerintah sedang memantau keadaan ekonomi dunia dengan teliti, namun tidak menjangka kemelesetan teruk seperti Krisis Kewangan Global pada 2008.

“Kita mesti terus berusaha ke jalan betul, agar kita dapat maju sekali lagi apabila keadaan bertambah baik, kerana ia akan (berlaku). Kita perlu mengharungi keadaan pasang surut ini.

“Kita menikmati paras tenaga kerja penuh dan masih ada peluang direbut, di Singapura dan di rantau ini. Saya harap anda akan terus mengejarnya,” kata Lee.

Beliau turut berharap warga Singapura akan melahirkan lebih ramai anak damit dalam Tahun Monyet. Tahun lalu, Singapura menyambut 33,793 anak damit baru – tertinggi dalam 13 tahun dan 600 lebih banyak daripada 2014.

Malah, jumlah anak damit yang dilahirkan pada tahun sambutan jubli emas negara itu lebih tinggi daripada Tahun Naga pada 2012, yang dianggap bertuah oleh kaum Cina.

“Saya gembira bahawa tahun lalu, lebih ramai warga Singapura menyambut anak damit ke dalam keluarga mereka. Saya berharap kita akan mempunyai lebih ramai anak damit dalam Tahun Monyet.

“Pemerintah akan terus menyokong warga Singapura memikul tanggungjawab dan merasai kegembiraan keibubapaan,” kata Lee. – BHS