Sikap lebih berhati-hati, elak kemalangan jalan raya

Sikap lebih berhati-hati, elak kemalangan jalan raya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Susulan beberapa kes kemalangan yang telah berlaku di Lebuh Raya Telisai-Lumut yang baru dirasmikan, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengingatkan para pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya berkenaan supaya mengambil sikap lebih berhati-hati.

Dalam satu kenyataannya hari ini, MKKJR berkata, memandangkan lebuh raya tersebut merupakan jalan raya yang baru siap dibina, para pengguna jalan raya belum terbiasa dengan sistem infrastruktur dan lencongan yang pasti akan berimpak kepada pemanduan dan saluran trafik di atasnya.

Dengan itu, adalah sangat disarankan kepada para pemandu untuk memandu dengan lebih berhati-hati mengikut had-had kelajuan yang terpapar sepanjang lebuh raya berkenaan. Para pemandu juga disarankan untuk tidak mengambil sebarang risiko ketika memandu bersama ahli keluarga, apatah lagi di musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, kata MKKJR.

Menurut kenyataan itu lagi, sikap berhati-hati ketika memandu sememangnya sangat dianjurkan bagi kesemua pengguna jalan raya seluruh negara tetapi memandangkan terjadinya beberapa kemalangan di Lebuhraya Telisai-Lumut yang baru sahaja dirasmikan, maka ke-perluan mengamalkan sikap pemanduan yang beretika dan berhemah ini memerlukan penekanan tambahan.

Para pemandu juga diperlukan untuk lebih memberikan perhatian kepada kawasan-kawasan berisiko seperti Pusingan-U dan sebagainya.

Semua pemandu kenderaan secara umum diingatkan untuk mengamalkan sikap menggunakan tali pinggang keselamatan serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Amalan ini perlu dipatuhi bukan sahaja ketika memandu di dalam negeri bahkan lebih ditekankan ketika memandu di negara-negara jiran.

Sikap pemanduan yang beretika, berhemat, bertolak ansur dan berhati-hati serta amalan doa sebelum perjalanan adalah antara ciri yang dapat memastikan penggunaan jalan raya yang selamat dan terjamin di negara ini. Di samping itu juga, adalah penting untuk sentiasa memastikan kenderaan secara keseluruhan adalah dalam keadaan baik dan bagi mengelakkan sebarang pengubahsuaian kenderaan yang tidak dibenarkan.

Dalam sama-sama memastikan juga untuk tidak mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain melalui sikap berlumba-lumba serta keadaan pemandu yang letih dan mengantuk, maka matlamat keselamatan yang disasarkan demi kesejahteraan dan kebaikan semua pengguna jalan raya akan tercapai.

ARTIKEL YANG SAMA