Sikap positif bantu pesakit psoriasis

Sikap positif bantu pesakit psoriasis

KUALA LUMPUR – “Rasa malap sahaja masa depan. Macam mana nak berhubung dengan orang? Apatah lagi nak kahwin.” Demikian luahan perasaan seorang remaja penghidap psoriasis di satu laman sosial yang dikhaskan untuk pesakit dan individu yang ingin mempelajari tentang penyakit itu.

Malah, menerusi pemerhatian penulis, rata-rata pengikut laman berkenaan berkongsi perasaan kecewa dan tertekan. Ramai juga yang bertanyakan tentang ubat atau penawar paling mujarab. Kerisauan mereka bukanlah sukar untuk difahami.

Psoriasis ialah sejenis penyakit kulit yang mengakibatkan kulit menjadi merah dan bersisik. Penyakit berkenaan biasanya menyerang di bahagian badan seperti kepala, berdekatan pusat dan celah punggung, selain kuku dan bahagian sendi iaitu siku dan lutut.

Bagi yang kurang pengetahuan, mungkin akan mudah berasa jijik atau bimbang jika penyakit itu boleh berjangkit, sekali gus menjauhkan diri daripada mereka yang menghidap psoriasis. Maka, tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan mereka yang mengalami kemurungan dan berasa tersisih daripada masyarakat.

Kekal positif

Bagaimanapun bagi Sofea (bukan nama sebenar) psoriasis tidak melemahkan semangatnya untuk menjalani kehidupan seperti orang lain. Pembantu tadbir berusia 22 tahun itu, telah mengalami penyakit itu sejak berusia 11 tahun lagi.

Ketua Perkhidmatan Dermatologi Kementerian Kesihatan Malaysia Datin Dr Asmah Johar (tengah) dan Ketua Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Suganthi Thevarajah (dua, kanan) melepaskan belon sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2016 di Taman Botani Perdana, baru-baru ini. – Bernama
Ketua Perkhidmatan Dermatologi Kementerian Kesihatan Malaysia Datin Dr Asmah Johar (tengah) dan Ketua Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Suganthi Thevarajah (dua, kanan) melepaskan belon sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2016 di Taman Botani Perdana, baru-baru ini. – Bernama

Beliau yang biasa mengenakan pakaian berlengan panjang dan bertutup, mengaku bernasib baik kerana tidak pernah dibuli atau diejek akibat keadaan kulitnya. “Ya, saya juga pernah berasa sedih, tetapi saya sentiasa cuba untuk meyakinkan diri dan tidak peduli pada pandangan orang lain,”

“Saya suka tengok bagaimana pesakit di luar negara menghadapi psoriasis. Jika mereka boleh ‘open minded’ untuk menerima penyakit mereka dan hidup secara sihat, kenapa tidak saya?” katanya kepada Bernama.

Pecahkan tembok minda

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua hingga tiga peratus populasi dunia menghidap penyakit ini. Di Malaysia terdapat kira-kira 14,800 pesakit psoriasis yang berdaftar sejak 2007.

Menyedari kepentingan memupuk pemikiran posifif dalam kalangan pesakit, Persatuan Psoriasis Malaysia bersama Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), telah menganjurkan sambutan Hari Psoriasis Sedunia di Taman Botani Perdana awal bulan ini.

Selain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam, sambutan ber-temakan “Breaking Barriers with People with Psoriasis” itu, turut mengajak pesakit untuk bergaul dengan masyarakat dan hidup aktif seperti orang lain.

“Psoriasis adalah penyakit yang tak perlu ditakuti. ‘Barrier’ atau tembok yang disebut itu adalah dalam minda kita sendiri, runtuhkan tembok itu!” kata Ketua Perkhidmatan Dermatologi Kementerian Kesihatan, Dr. Asmah Johar pada majlis itu.

Pantau kesihatan

Selain itu, Ketua Jabatan Dermatologi HKL Dr T. Suganthi menekankan kepentingan penghidap psoriasis untuk sentiasa memantau kesihatan. “Penyakit psoriasis ini adalah apa yang kita panggil ‘immuned mediated disease’, oleh sebab itu ia ada kaitan dengan ‘metabolic sindrome’.

“Ini bermakna pesakit psoriasis mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis, berbanding penghidap penyakit kulit yang lain,” jelas beliau.

Pesakit psoriasis amat digalakkan menyertai persatuan atau “support group” bagi membantu mereka memahami lebih lanjut mengenai penyakit itu selain mendapatkan sokongan dari segi emosi.

Rawatan hospital dan alternatif

Menurut Suganthi lagi, psoriasis tidak boleh dihilangkan sepenuhnya kerana penyakit berkenaan bersifat genetik. Namun, penyakit itu boleh dikawal dengan pengambilan ubat tertentu, di samping amalan gaya hidup sihat.

Antara rawatan yang biasanya diberikan kepada pesakit ialah ubat sapu, terapi cahaya ‘ultra ungu’, dan ubat untuk dimakan, yang bergantung pada tahap psoriasis seseorang.

Bagi Sofea, beliau memilih ubat yang dirumus daripada ramuan herba Ayurveda, untuk mengelak kesan sampingan steroid yang biasa terkandung dalam ubat-ubatan moden. “Psoriasis saya masih ada tetapi dalam keadaan terkawal, walaupun tidak menggunakan ubat hospital,” katanya yang masih menjalani pemeriksaan berkala di pusat kesihatan.

Para pesakit psoriasis bagaimanapun diminta datang ke hospital dan mendapatkan rawatan yang disediakan. “Daripada cari the ‘magic cure’, jumpa bomoh dan sebagainya, saya syorkan pesakit psoriasis agar datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Kadang-kadang rawatan tradisional ini lebih bahaya daripada menyembuhkan, jadi lebih baik berhati-hati,” nasihat Suganthi. – Bernama