Sikap Suarez pupuk semangat setia kawan

Sikap Suarez pupuk semangat setia kawan

BARCELONA, 4 Mei (Reuters) – Selepas permulaan perlahan bersama Barcelona, Luis Suarez kini dianggap setaraf dengan Lionel Messi dan Critiano Ronaldo dengan sikap tidak mementingkan diri sendiri banyak memupuk semangat setia kawan dalam jentera serangan gergasi Catalan itu.

Sejak beberapa musim lalu, permainan Barca lebih tertumpu kepada corak hantaran pendek namun ketajaman di bahagian serangan dijana trio – Suarez, Messi dan Neymar membawa mereka di ambang kejayaan kedua memenangi tiga piala dalam tempoh enam tahun.

Sudah 108 gol sudah dijana di antara mereka dan jumlah itu tidak jauh berbanding rekod Liga Sepanyol dipegang trio Real Madrid diketuai Ronaldo, Karim Benzema dan Gonzalo Higuain dengan meledak 118 gol pada musim 2011-12.

Sejak tiba di Barcelona dari Liverpool ketika masih menjalani penggantungan akibat menggigit pemain lawan ketika Piala Dunia, Suarez sudah meledak 17 gol daripada 16 perlawanan termasuk kemenangan besar Barca menewaskan Cordoba, 8-0, semalam.

Ketika penampilan awalnya pada Oktober lepas, penyerang Uruguay itu dipuji kerana etika sepasukan kerana sering membantu rakan sepasukannya menjana gol. Kini, matlamat utamanya sudah mula terbit dengan sikap tidak mementingkan dirinya mula berjangkit kepada rakan sepasukannya.

Sikap Luis Suarez (kiri) yang tidak mementingkan diri sendiri banyak membantu memupuk semangat setia kawan di Barcelona. – Reuters
Sikap Luis Suarez (kiri) yang tidak mementingkan diri sendiri banyak membantu memupuk semangat setia kawan di Barcelona. – Reuters

Menentang Cordova, Messi yang meledak dua gol dan sedang memburu gelaran anugerah penjaring terbanyak menyaingi Ronaldo melepaskan peluangnya untuk meledak hatrik dan membiarkan Neymar mengambil sepakan penalti.

Reaksi bintang Argentina itu jelas berbeza dengan sikap Ronaldo yang berang kepada rakan sepasukannya, Alvaro Arbeloa yang tampil menyambar bola di hadapannya untuk menjaringkan gol ketika berdepan Almeria. Tindakan itu pantas mencetus ejekan di Bernabeu.

“Saya amat gembira ketika ini dan semua ini adalah disebabkan sokongan dan keyakinan yang rakan sepasukan saya berikan. Tanpa mereka dan keluarga saya, saya tidak akan dapat menjaringkan gol-gol ini,” kata Suarez.

Sikap yang ditampilkan Suarez pantas mencipta hubungan persahabatan dengan Messi dan ditambah dengan tahap ketajaman kedua-duanya di depan gawang gol, ia menjadi alasan utama mengapa bekas pemenang pemain terbaik dunia itu kembali menikmati bola sepak.

Barca ketika ini di laluan terbaik untuk mengulangi kejayaan 2009 dengan menjuarai tiga piala iaitu La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara Eropah.

Sedang menghuni tangga teratas La Liga dengan kelebihan dua mata di depan Real, Barca dijadual berdepan Athletic Bilbao dalam final Piala Raja Sepanyol selain bertemu Bayern Munich dalam saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah.

ARTIKEL YANG SAMA