Sikap Suu Kyi kecewakan Rohingya

Sikap Suu Kyi kecewakan Rohingya

BANGKOK, 3 Julai – “Kami orang Rohingya, jadi tolonglah panggil kami Rohingya,” demikian rayu Hajee Ismail, seorang aktivis Rohingya ketika ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, melawat Thailand dalam kunjungan pertama beliau ke negara ini baru-baru ini.

Pejuang hak masyarakat Rohingya itu menaruh harapan tinggi terhadap Suu Kyi selepas parti pimpinannya mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Myanmar yang amat bersejarah.

Antara perkara yang menjadi harapannya ialah agar Suu Kyi memperbaiki nasib dan kehidupan setengah juta masyarakat Rohingya di Myanmar, setelah mereka dizalimi sejak berpuluh tahun lalu.

Bagaimanapun, harapan yang diletakkan kepada Suu Kyi terus berubah menjadi kemarahan apabila wanita bergelar penjuang demokrasi itu bukan sahaja gagal menangani ketidakadilan yang menimpa kumpulan minoriti tersebut, malah enggan memanggil mereka sebagai Rohingya.

“Segala yang kami harapkan daripada tokoh demokrasi itu berkecai semuanya.

“Kami benar-benar tidak menyangka pemenang Hadiah Nobel ini sanggup mengambil pendirian politik bersifat keras dan negatif serta tidak demokratik seperti itu,” katanya.

Hajee Ismail merupakan Setiausaha Agung Rohingya Thailand Group, sebuah pertubuhan bukan kera-jaan yang memperjuangkan nasib migran Rohingya di Thailand. - Bernama
Hajee Ismail merupakan Setiausaha Agung Rohingya Thailand Group, sebuah pertubuhan bukan kera-jaan yang memperjuangkan nasib migran Rohingya di Thailand. – Bernama

Selama ini, Hajee, yang memimpin pertubuhan Kumpulan Rohingya Thailand, menyangka pemimpin defacto Myanmar itu, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Amay Suu’ (Ibu Suu) oleh rakyat negara itu, termasuk masyarakat Rohingya, adalah pemimpin paling layak untuk menamatkan penderitaan masyarakat Rohingya.

Ternyata, beliau silap!

Menurut Hajee, walaupun Suu Kyi sudah berkuasa di Myanmar, beliau tidak nampak kaum Rohingya akan menikmati masa depan yang lebih cerah dan oleh itu, mereka amat kecewa serta merayu bantuan segera daripada dunia untuk membela nasib mereka.

Lawatan rasmi Amay Suu ke Thailand dari 23 hingga 25 Jun lalu adalah yang pertama baginya selepas dilantik sebagai Kaunselor Negara dan Menteri Luar Myanmar.

Dalam rangka lawatan itu, beliau mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-o-cha mengenai isu kepentingan bersama kedua-dua negara.

Bagaimanapun, seperti diduga, isu mengenai nasib Rohingya tidak pernah dibincangkan kerana kedua-dua pemimpin itu memberi tumpuan terhadap usaha untuk menyelesaikan isu pekerja Myanmar di Thailand.

Suu Kyi menimbulkan kekecohan baru-baru ini kerana mengelak menggunakan istilah ‘Rohingya’ tetapi merujuk kepada kumpulan etnik itu sebagai ‘Bengali’ dengan alasan penggunaan istilah emotif itu akan menyulitkan usaha mencari penyelesaian bagi masalah berkenaan.

Seorang lagi aktivis Rohingya di Thailand, Maung Kyaw Nu, daripada Persatuan Rohingya Burma di Thailand, juga amat berharap Suu Kyi dapat menamatkan penderitaan yang ditanggung kumpulan minoriti itu sejak berpuluh tahun lepas, namun harapannya juga hancur berkecai.

Beliau menyifatkan keengganan Suu Kyi untuk mengaku kewujudan Rohingya di Myanmar sama se-perti ‘membuang’ anaknya sendiri. – Bernama