Silap sasar, pelancong terkorban

Silap sasar, pelancong terkorban

KAHERAH, 14 Sept (AFP) – Mesir berkata pasukan keselamatannya telah membunuh 12 orang, termasuk pelancong-pelancong Mexico, selepas tersalah sasaran ke arah konvoi empat buah kenderaan ketika memburu pejuang-pejuang jihad di Gurun Barat negara itu.

Operasi bersama polis dan tentera semalam yang ‘memburu elemen-elemen pengganas’ di Wahat ‘tersilap’ menyasarkan ke atas empat buah lori pikap yang membawa pelancong-pelancong Mexico, menurut kementerian dalam negeri, dalam satu kenyataan.

Mexico menyelar kejadian itu dan menggesa penyiasatan menyeluruh. Mesir tidak memberikan huraian tepat tentang kematian dan kecederaan, tetapi berkata ‘kejadian itu telah membawa kepada 12 kematian warga Mexico dan Mesir dan mencederakan 10 orang lagi.”

“Mereka berada di kawasan larangan bagi pelancong asing,” tambahnya. Kementerian luar Mexico berkata kira-kira dua orang pelancong Mexico telah terbunuh.

“Mexico menyelar kejadian ke atas warganegara kami itu dan menuntut penyiasatan menyeluruh tentang apa yang telah berlaku dari kerajaan Mesir,” Presiden Enrique Pena Nieto berkata di Twitter.

Empat buah kereta pacuan empat roda ketika menyeberangi bukit pasir di padang pasir barat Mesir dan Bahariya Oasis, barat daya Kaherah pada 15 Mei. Pasukan keselamatan Mesir telah membunuh 12 warga Mexico dan Mesir serta mencederakan 10 orang ‘tanpa sengaja’ selepas tersilap sasar ke atas konvoi pelancong yang disangka militan. – Reuters
Empat buah kereta pacuan empat roda ketika menyeberangi bukit pasir di padang pasir barat Mesir dan Bahariya Oasis, barat daya Kaherah pada 15 Mei. Pasukan keselamatan Mesir telah membunuh 12 warga Mexico dan Mesir serta mencederakan 10 orang ‘tanpa sengaja’ selepas tersilap sasar ke atas konvoi pelancong yang disangka militan. – Reuters

Duta Mexico telah melawat lima warganegaranya yang sedang dirawat di Hospital Dar al-Found di pinggir kota barat Kaherah, yang mana mereka disenaraikan dalam keadaan stabil, menurut kementerian luar Mexico.

Kementerian itu memberikan beberapa butiran tentang apa yang telah berlaku, dengan mengatakan bilangan pelancong Mexico ‘yang belum ditentukan’ telah diserang’ dalam keadaan yang masih belum jelas lagi.

Menteri luar Mexico dijadualkan mengadakan sidang media hari ini.

Kementerian dalam Mesir tidak mengatakan sama ada para pelancong disasarkan dengan senjata automatik atau pengeboman udara ketika operasi ke atas pejuang jihad itu.

Kumpulan Islamic State (IS) di Mesir berkata dalam satu kenyataan ia ‘telah menentang operasi ketenteraan di Gurun Barat’ semalam.

Gurun Barat sebuah destinasi popular bagi kumpulan pelancong, luas terbentang dari sub bandar Kaherah hingga ke sempadan Libya.

Pegawai kanan kementerian pelancongan memberitahu AFP yang insiden berlaku ketika pelancong sedang membuat perjalanan antara Kaherah dan Bahariya Oasis, kira-kira 350km dari barat daya bandar tersebut.

Seorang pengendali pelancongan tempatan mengatakan mereka berhenti di tepi jalan untuk makan tengah hari sebelum mereka pulang ke hotel mereka.

Sumber polis mengatakan pasukan khas pada Ahad menjalankan operasi udara kira-kira 150km barat Bahariya.