Silat genggam emas pertama negara

Silat genggam emas pertama negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Anisah Najihah binti Abdullah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 menerusi acara Pencak Silat Kategori Seni Bela Diri Tunggal Perempuan.

Pencapaian tersebut bukan saja merupakan pungutan pingat emas pertama negara bagi edisi kali ini, bahkan lebih hebat lagi menamatkan penantian tujuh tahun negara kerana ia merupakan catatan pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan negara sejak dari ASG Kali Pertama, 2009. Pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong yang baru saja selesai menduduki Peperiksaan GCSE ‘A’ Level 2015 itu bahkan jauh meninggalkan pesaing-pesaingnya yang lain dengan catatan 463 mata berbanding 456 mata oleh Dwi Jayanti dari Indonesia (perak) dan 451 mata oleh Nur Fatihah binti Zainuddin dari Malaysia (gangsa).

Lebih menarik lagi, Anisah Najihah turut menyertai dan memenangi pingat gangsa Kategori Seni Bela Diri Regu Perempuan bersama Qistina Athirah binti Zainal dan Nurhamizah binti Hamid, yang merupakan kategori terakhir dari tiga kategori Seni Bela Diri Pencak Silat yang dipertandingkan petang ini.

Juara Seni Tunggal Perempuan, Anisah Najihah (tengah) semasa beraksi dalam Seni Regu Perempuan bersama Qistina Athirah dan Nurhamizah.
Juara Seni Tunggal Perempuan, Anisah Najihah (tengah) semasa beraksi dalam Seni Regu Perempuan bersama Qistina Athirah dan Nurhamizah.

pg24_151126_LOGO ASG7

Anisah Najihah (dua dari kiri) meraih emas Seni Tunggal Perempuan dan gangsa Regu Perempuan bersama Qistina dan Nurhamizah. Ketika bergambar bersama Ketua Jurulatih, Hassan.
Anisah Najihah (dua dari kiri) meraih emas Seni Tunggal Perempuan dan gangsa Regu Perempuan bersama Qistina dan Nurhamizah. Ketika bergambar bersama Ketua Jurulatih, Hassan.

Mereka bertiga mengumpul 444 mata, di belakang pemenang pingat emas, Regu Indonesia (454 mata) yang dibarisi Yesi, Okeu dan Siti Nuraina, dan pemenang pingat perak, Regu Vietnam (448 mata) yang diwakili Nguyen Thuy Linh, Vu Khanh Ly dan Li Thi Hien.

Pesilat negara turut bersaing dalam Kategori Seni Bela Diri Ganda Lelaki, diwakili Mohd Nur Hisham dan Awangku Mohd Isyraq Hazim. Mereka mengumpul 546 mata untuk menduduki tempat keempat.

Emas dimenangi Ganda Lelaki Indonesia, Kiki Nugraha dan Ardianto dengan 578 mata, diikuti Ganda Lelaki Malaysia, Mohd Arif Zulkifli dan Nursyamin Ikhmal Sharifuddin dengan 558 mata meraih perak, dan Ganda Lelaki Vietnam, Tran Duc Danh dan Le Hong Quan meraih gangsa dengan 555 mata.

Pertandingan Pencak Silat ASG7 2015 akan diteruskan lagi esok dengan perlawanan-perlawanan akhir Kategori Tanding disusuli dengan Majlis Penyampaian Pingat kepada semua pemenang.

ARTIKEL YANG SAMA