Silat Hari Keputeraan bermula

Silat Hari Keputeraan bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Keris Khas dikeluarkan daripada sarungnya malam tadi bagi menandakan bermulanya Pertandingan Pencak Silat Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 Tahun 2015.

Menghunus Keris Khas bagi merasmikan pertandingan anjuran Persekutuan Pencak Silat Negara Brunei Darussalam (PERSIB) itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Upacara di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu bermula dengan perarakan masuk para peserta dan pengurus pasukan dari enam pasukan yang menyertainya, hakim-hakim dan wasit/juri pertandingan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’, bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, ucapan sekapur sirih Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Ludin, dan perarakan Keris Khas masuk ke Gelanggang Silat oleh Ketua-Ketua Pertandingan dan Wasit/Juri Pertandingan.

Awang Muhammad Sunadi menghunus Keris Khas sambil diiringi Pg Haji Mohammad (tengah) untuk merasmikan Pertandingan Pencak Silat Hari Keputeraan 2015.
Awang Muhammad Sunadi menghunus Keris Khas sambil diiringi Pg Haji Mohammad (tengah) untuk merasmikan Pertandingan Pencak Silat Hari Keputeraan 2015.

Selesai perasmian pertandingan, Ikrar Pesilat disusuli Ikrar Janji Wasit & Juri pula dibacakan. Kemudian Awang Muhammad Sunadi diperkenalkan kepada para Pengurus Pasukan, peserta dan Wasit/Juri oleh Pengiran Haji Mohammad.

Sejurus selepas itu Doa Selamat pun dibacakan, diikuti dengan Pembukaan Gelanggang Silat oleh Naib Yang Dipertua II/Bendahari PERSIB, Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan dan akhirnya persembahan silat tempur tangan kosong dan tempur bersenjata oleh para pesilat cilik PERSIB.

Enam pasukan menyertai acara Silat Cekak Asli, Kuntau dan Tanding itu ialah Daerah Brunei & Muara, Daerah Belait, Daerah Temburong, Daerah Tutong, Majlis Sukan (MS) Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (SSBD) dan MS Angkatan Bersenjatan Diraja Brunei (ABDB).

ARTIKEL YANG SAMA