Silat mampu tarik pelancong

Silat mampu tarik pelancong

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 29 Jan – Brunei telah membuktikan potensi untuk menarik pelancong untuk menyertai kursus seni mempertahankan diri yang mana pada tahun lalu sahaja, bengkel silat telah dihadiri oleh peserta-peserta dari 16 buah negara berbeza.

Perkara tersebut ditekankan oleh pengasas tempatan akademi seni mempertahankan diri Kelasak, Awang Maul Morni, yang mana menjadi hos bengkel silat tahun lepas.

Awang Maul Morni, yang telah mengembara ke lebih daripada sepuluh buah negara pada setiap tahun sejak sedekad yang lalu untuk melakukan bengkel silat, baru-baru ini, berkata terdapat minat daripada orang asing mahu melawat ke negara ini untuk belajar silat, jika anak-anak tempatan bersedia untuk mempromosikan kemahiran di luar negara secara efektif.

Beliau yang mengajar utilitarian, iaitu sejenis seni mempertahankan diri silat yang dipanggil Silat Sufian Bela Diri (SSBD), telah mendapat ribuan pengikut dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali dan Jerman dan telah menjana ribuan penonton melalui video YouTube.

Awang Maul Morni semasa menyampaikan taklimatnya kepada pelajar-pelajar PLM mengenai silat baru-baru ini.
Awang Maul Morni semasa menyampaikan taklimatnya kepada pelajar-pelajar PLM mengenai silat baru-baru ini.

Menurutnya, hampir semua 39 peserta dari 16 buah negara yang menyertai Kem Antarabangsa Kelasak yang pertama diadakan di Negara Brunei Darussalam Disember lalu tidak pernah datang ke negara ini sebelumnya, dan ramai dalam kalangan mereka yang positif untuk datang semula ke negara ini.

“Semasa di negara ini, mereka tinggal di hotel-hotel, menikmati masakan tempatan dan sebagai peminat SSBD, peserta itu juga turut berminat untuk belajar tentang persekitaran asal usul Kelasak,” katanya.

“Minat luar negara inilah juga antara sebab kenapa saya melakukan bengkel di luar negara, kerana saya yakin, terdapat beberapa cara untuk mempromosikan Brunei dalam cara yang positif.”

Beliau turut menambah, dalam masa dua tahun akan datang, merancang untuk membuka ruang fizikal yang tetap di negara ini dan akan memasarkannya sebagai ‘hab antarabangsa’ untuk SSBD.