Siling runtuh akibat gegaran 3.5

Siling runtuh akibat gegaran 3.5

RANAU, 23 Jun (Bernama) – Satu gempa bumi lemah berukuran 3.5 pada skala Richter melanda daerah ini, pada pukul 10.54 pagi tadi telah mengakibatkan sebahagian siling perpustakaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali runtuh, hari ini.

Pengawal keselamatan sekolah itu, Mohd Ruzali Suhaili berkata runtuhan itu berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi, namun tiada pelajar atau guru berada di situ itu kerana pusat sumber berkenaan ditutup sejak kejadian gempa bumi melanda daerah ini 5 Jun lepas.

“Sebahagian siling itu memang sudah runtuh ketika gempa bumi baru-baru ini dan siling yang runtuh kali ini memang telah retak sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu.

Beliau berkata ketika gempa bumi itu semua pelajar dan guru-guru berkumpul di satu kawasan lapang di sekolah berkenaan.

TIDAK SELAMAT... Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip (2 kanan) meneliti kerosakan siling Bilik Komputer Sekolah Kebangsaan Marakau dekat sini akibat gegaran gempa bumi. – Bernama
TIDAK SELAMAT… Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip (2 kanan) meneliti kerosakan siling Bilik Komputer Sekolah Kebangsaan Marakau dekat sini akibat gegaran gempa bumi. – Bernama

Sementara itu, pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin dalam satu kenyataan berkata pihaknya meninjau lokasi kejadian kira-kira pukul 12.04 tengah hari tadi.

“Siling itu memang telah runtuh akibat gegaran pagi tadi. Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Gempa itu berpusat di 22km barat Ranau dan ia merupakan gempa susulan selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau serta mengorbankan 18 nyawa pada 5 Jun lepas.