Simeone angkat maruah Atletico Madrid

Simeone angkat maruah Atletico Madrid

MADRID, 16 Julai – Setelah Diego Simeone dilantik menjadi pengurus Atletico Madrid pada Disember 2011, Atletico masih berada dalam prestasi terburuk dengan hanya menduduki tangga ke-11 Liga Sepanyol dan tidak pernah memenangi mana-mana kejohanan domestik ketika itu.

Bagaimanapun dalam tempoh empat tahun, Atletico mula dikenali dan menjadi buah mulut para peminat di seluruh dunia yang mengatakan mengenai kehebatan mereka apabila berada di gelanggang lawan.

Satu persatu nama kelab gergasi se­perti Barcelona dan Real Madrid tumbang sejak dikendalikan oleh pengurus berusia 45 tahun itu. Kejutan demi kejutan telah dibuat sehingga berjaya menggondol lima trofi kejuaraan dalam tempoh empat tahun termasuk juara Liga Sepanyol untuk musim 2013-2014.

Apa yang paling diingati ialah berjaya memadamkan rekod 18 tahun tanpa kejuaraan utama dengan memenangi gelaran juara Liga Sepanyol pada 2014.

Bagaimanapun, sejak itu, pemain-pemain bintang yang berjaya mencipta sejarah itu hilang seorang demi seorang gara-gara dipancing oleh kelab gergasi dengan ganjaran yang cukup lumayan.

Diego merupakan arkitek kebangkitan Atletico Madrid sejak 2011. – Reuters
Diego merupakan arkitek kebangkitan Atletico Madrid sejak 2011. – Reuters

Thibaut Courtois, Diego Costa dan Filipe Luis menyertai Chelsea tahun lalu, manakala Miranda menyertai Inter Milan. Terbaharu pemain paling berpengaruh yang beraksi diposisi sayap, Arda Turan pula secara rasminya telah menyertai skuad The Catalans.

Sejak itu, pasukan Atletico gagal mendominasi mana-mana kejohanan di Eropah. Walaupun talian hayat kedua telah digunakan sejak kehilangan beberapa pemain tonggak, namun kemasukan David Villa, Mario Mandzukic, Diego Ribas dan Adrian gagal memberikan impak positif dalam tempoh satu musim.

Bagi Simeone, dia sebenarnya sudah ada perancangan tersendiri untuk mengembalikan kegemilangan Atletico iaitu dengan menggunakan pemain-pemain muda di bawah akademi Atletico sendiri.

Dengan mengekalkan pemain senior seperti Diego Godin, Juanfran, Gabi, Koke, Tiago, Mario Suarez dan Raul Garcia, pemain muda seperti Jan Oblak, Jose Gimenez, Saul Niguez dan Oliver Torres turut dilihat bakal menjadi pahlawan baharu Atletico di atas padang musim depan. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA