Simpan hasrat tarik helikopter

Simpan hasrat tarik helikopter

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Jan – Setelah berjaya membuktikan kekuatan luar biasanya yang mampu menarik sebuah kereta dua tahun lalu, diikuti pula dengan dua buah kereta pada November lalu, Awang Mohamed Aiman bin Mujibur Rahman kini berhasrat mahu menarik sebuah helikopter pada Februari nanti.

Awang Mohamed Aiman, 8, yang merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri Awang Mujibur Rahman bin Haji Mohamad Ibrahim, 42, dan Dayang Rosmahwati binti Kamis, 43, yakin bahawa dia boleh melakukannya, sehubungan itu dengan kerjasama kedua-dua orang tuanya, dia akan melakukan satu lagi aksi luar biasa dengan menarik sebuah helikopter, dalam program yang dinamakannya ‘Bruneian ASEAN Nombor Satu’.

Awang Mujibur Rahman, semasa ditemui Media Permata hari ini menyatakan, mereka akan membuat perundingan terakhir dengan pihak yang menyewakan helikopter di Miri, hari ini, dan jika rundingan berjaya, pertunjukan menarik helikopter akan mereka adakan di kawasan Stadium di Miri pada Februari ini.

Ke arah itu, beliau dan anaknya pada masa ini juga sedang berusaha mendapatkan tajaan untuk menjayakan program mereka itu termasuk bagi membiayai pembayaran sewa sejumlah RM6,000 bagi sebuah helikopter yang beratnya tiga tan, penginapan semasa di Miri dan sebagainya.

“Sekiranya ada penaja yang tampil membantu kami, saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, kerana dengan itu nanti, akan merealisasikan hasrat anak lelaki kami yang juga bercita-cita mencatatkan Guinness World of Records, sekali gus akan dapat menaikkan nama negara,” katanya.

Kanak-kanak yang kini baru berusia 8 tahun, menunjukkan aksi luar biasa boleh menarik sebuah kereta.
Kanak-kanak yang kini baru berusia 8 tahun, menunjukkan aksi luar biasa boleh menarik sebuah kereta.
Awang Mohamed Aiman, semasa menerima undangan dalam rancangan siaran RTB Daerah Belait.
Awang Mohamed Aiman, semasa menerima undangan dalam rancangan siaran RTB Daerah Belait.

Awang Mohamed Aiman, yang kini telah dikenali sebagai panggilan Anak Kuat dalam kalangan masyarakat di sini, telah membuat pertunjukan aksi luar biasa dengan menarik sebuah kereta pada tahun 2014 di kawasan luar Radio Televisyen Brunei (RTB) Kuala Belait, kemudian diikuti menarik dua buah kereta pada November lalu di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), kemudian baru-baru ini membuat pertunjukan di kawasan Pantai Sungai Liang atas undangan salah sebuah persatuan di daerah ini.

Awang Mujibur Rahman memberitahu, beliau telah menyedari kekuatan luar biasa anaknya itu semasa kejadian kereta mereka rosak.

Beliau menceritakan, apabila cuba hendak menghidupkan enjin, dia memanggil anaknya itu bersama isteri untuk menolak kereta mereka, “saya masuk dalam kereta, tiba-tiba saya merasa kereta bergerak, dan kemudian enjin sudah hidup, saya turun dari kereta dan bertanya siapa membantu menolak kereta, dan Mohamed Aiman menjawab dia yang menolak bersendirian,” katanya.

Pada masa itu, Mohamed Aiman hanya berusia enam tahun dan sejak itu, ayahnya sering melatihnya, selain menjaga pemakanannya, terutama menghindari makan makanan yang berminyak serta tidak memberikan minuman bergas selain air suam.

“Anak saya juga suka berenang sebagai latihan jasmaninya, dan saya membawanya ke Kompleks Sukan Mumong setiap hari Jumaat dan Ahad semasa tidak bersekolah, selain kami membuat latihan tarik kalat untuk menguji kekuatannya,” kata Awang Mujibur Rahman lagi.

ARTIKEL YANG SAMA