Simpanan nilai masa depan

Simpanan nilai masa depan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Perniagaan pelaburan emas di negara ini sememangnya amat diragui oleh orang ramai, namun jika dipelajari dan difahami dengan lebih mendalam akan dapat memberikan manfaat dan pendapatan yang lebih pada masa akan datang.

Salah seorang stokis berdaftar yang sah bagi perniagaan Powergold di negara ini, Dayang Nur Masrina binti Haji Sahri semasa ditemui menjelaskan bahawa Sistem Powergold bukan skim pelaburan ‘cepat kaya’ sebaliknya menggalakkan orang ramai untuk menyimpan dalam usaha untuk mendapat pendapatan yang lebih.

“Ramai orang mempunyai kefahaman bahawa Powergold ini adalah sebuah pelaburan yang akan memberikan mereka untung pada setiap bulan dan kefahaman itu adalah tidak betul. Tetapi kami hanya mengajak orang ramai untuk menyimpan simpanan mereka yang ditukar kepada emas.”

Ini, jelas beliau, kerana wang kertas jika disimpan di dalam bank akan tetap menjadi wang kertas tetapi jika emas disimpan, mungkin nilainya akan meningkat semasa lima tahun yang akan datang.

“Konsep kami yang sebenarnya ialah ia mengajak orang ramai untuk menabung simpanan bulan-bulan mengikut kemampuan masing-masing.”

pg07_160111_b

Menurut Dayang Nur Masrina atau lebih dikenali sebagai Reena Groul, semasa menyertai Powergold ini, beliau mempunyai sasaran jumlah untuk disimpan dan jika sasaran simpanan beliau telah dicapai, simpanan emas ini bolehlah ditunai atau digadaikan dan digunakan untuk keperluan masing-masing.

PowerGold Dot Biz Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang menyediakan platform perniagaan emas secara online dan ia merupakan anak syarikat pembekal emas Amethyst Gold Creation Sdn Bhd yang sudah bergiat dalam pengilangan emas melebihi 12 tahun.

Syarikat ini memasarkan produk emas yang terdiri daripada Gold Bar 999.9, Dinar 999.9, Syiling 999.9 dan Barang-barang Kemas (emas 916) pada harga yang mampu milik.

Menurutnya lagi, melalui Powergold ia membukakan peluang kepada usahawan yang berminat untuk menjana pendapatan melalui perniagaan emas dengan modal minimum menerusi tiga konsep perniagaan iaitu penjimatan, perdagangan dan rangkaian.

Dayang Nur Masrina mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan Powergold ini bermula November tahun lalu melalui suami beliau sendiri.

Beliau juga menyeru kepada orang ramai untuk bersifat lebih terbuka hati dan agar tidak mempunyai kepercayaan bahawa Powergold ini merupakan skim pelaburan ‘cepat kaya’ sebaliknya ia adalah untuk menabung demi masa depan dan mendapat manfaat peningkatan nilai emas yang telah disimpan.

ARTIKEL YANG SAMA