Simposium bincang indemniti perubatan

Simposium bincang indemniti perubatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Isu perlindungan bagi para profesional perubatan di negara ini adalah antara yang dibincangkan secara terperinci dalam Simposium Persatuan Perubatan Brunei (BMA) bertema Indemniti Profesional dan Amalan Perubatan Rentas Sempadan yang berlangsung di Dewan Bahtera, Badi’ah Hotel, hari ini.

Hadir di simposium itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said selaku tetamu kehormat.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden BMA, Dr Pengiran Mohd Bahrin bin Pengiran Haji Aliuddin.

Dalam ucapannya itu, beliau memaklumkan bahawa buat julung-julung kalinya, BMA akan menganjurkan Mesyuarat Persatuan Perubatan ASEAN yang akan diadakan esok.

Lebih 30 delegasi dari Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam and Brunei Darussalam akan menghadiri mesyuarat itu.

Dr Dayang Hajah Rahmah semasa menghadiri simposium berkenaan, petang kelmarin.
Dr Dayang Hajah Rahmah semasa menghadiri simposium berkenaan, petang kelmarin.

Sesi pertama simposium berkenaan yang dipengerusikan oleh Pegawai Penasihat, Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Haji Mohd Jaafar membincangkan mengenai indemniti profesional.

Dalam sesi ini, Pengarah Undang-Undang dan Hal Ehwal Korporat, Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Liabiliti Perubatan: Adakah Kita dilindungi?’.

Menurut beliau, liabiliti perubatan bagi pengamal perubatan di Brunei Darussalam adalah bergantung sama ada mereka pegawai kerajaan ataupun pengamal swasta.

Pegawai kerajaan, jelasnya, akan mendapat imuniti yang telah diperuntukkan di bawah Artikel 84B(2) iaitu mana-mana orang yang bertindak bagi pihak, atau di bawah kuasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak akan dikenakan apa-apa prosiding di dalam mahkamah bagi apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukannya dalam kapasiti tugasnya.

Manakala itu, pengamal swasta tidak akan mendapat imuniti terhadap tindakan di mahkamah bagi amalan salah perubatan atau kecuaian, tambahnya.

Presiden BMA, Dr Pg Md Bahrin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Presiden BMA, Dr Pg Md Bahrin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Awang Ahmad Jefri membincangkan mengenai liabiliti perubatan.
Awang Ahmad Jefri membincangkan mengenai liabiliti perubatan.

Kemudian, Pengurus Rangkaian Negara dari Willis Insurance Broker (B) Sdn Bhd, Ian Creighton pula membincangkan tajuk Insurans Liabiliti Perubatan bagi Profesional Perubatan.

Sesi kedua simposium berkenaan pula mengetengahkan mengenai amalan perubatan rentas sempadan, yang dipengerusikan oleh Pegawai Pembangunan Kerjaya Profesional, Profesor Madya Kenneth Kok.

Membuat pembentangan dalam sesi ini ialah Superintenden Perubatan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Ang Swee Hui dengan tajuknya ‘Maklumat Terkini mengenai Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) bagi Pengamal Perubatan di Seluruh Negara-Negara Anggota ASEAN.

Simposium itu diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para jemputan yang hadir dan penyampaian cenderahati.

ARTIKEL YANG SAMA