Simposium Immunomics, Proteomics bermula

Simposium Immunomics, Proteomics bermula

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Perkongsian maklumat dan ilmu pengetahuan terkini dalam bidang penyelidikan khususnya di antara pakar bidang masing-masing dengan para penyelidik tempatan bukan sahaja memberikan peluang kepada penyelidik berkenaan meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tetapi juga membolehkan mereka mengongsi, berinteraksi dan berbincang mengenai idea penyelidikan mereka sendiri dengan para pakar berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Joyce Teo Siew Yean ketika berucap pada Perasmian Simposium Immunomics & Proteomics yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSBIHS), UBD, hari ini.

Dr Joyce Teo berkata bahawa UBD amat gembira dengan penghormatan yang diberikan untuk menjadi hos bersama dengan Sengenics untuk mengendalikan simposium yang mengetengahkan penceramah dan pakar antarabangsa dalam bidang proteomics yang mengongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dengan komuniti penyelidik tempatan.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan para peserta simposium akan memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan yang diberikan itu untuk mengemukakan, berinteraksi dan berbincang mengenai dengan idea penyelidikan mereka sendiri bersama para pakar antarabangsa supaya boleh mendapatkan pandangan pakar mengenai penyelidikan mereka itu.

Dr Joyce Teo bergambar dengan penceramah dan pakar antarabangsa yang menyertai simposium berkenaan.
Dr Joyce Teo bergambar dengan penceramah dan pakar antarabangsa yang menyertai simposium berkenaan.
Dr Joyce Teo semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis itu.
Dr Joyce Teo semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis itu.

Simposium sehari itu dianjurkan bersama oleh PAPRSBIHS, UBD dan Sengenics, mengetengahkan penceramah dan pakar antarabangsa dalam bidang proteomics yang mengongsi perkembangan terkini, penyelidikan dan kertas kerja mereka dalam bidang penyelidikan itu.

Simposium mengemukakan beberapa pakar dalam bidang penyelidikan Immunomics & Proteomics termasuk Ketua Pegawai Saintifik Sengenics dan Pengasas Teknologi Immunome, Profesor Jonathan Blackburn; Ketua Global bagi Proteomics, Roche, Switserland, Profesor Hanno Langen dan Ketua Kumpulan Atlas Protein Array, KTH, Sweden, Profesor Peter Nilsson.

Dalam simposium itu membincangkan beberapa penemuan terkini yang berhubungan dengan penggunaan platform protein array Immunone, khususnya dalam aplikasinya bagi penemuan penanda bio autoantibody bagi pelbagai penyakit termasuk melanoma, lupus, kanser prostat, Parkinson dan Malaria.

ARTIKEL YANG SAMA