Simposium isu amalan perubatan, hari ini

Simposium isu amalan perubatan, hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Persatuan Perubatan Brunei (BMA) akan mengadakan simposium bertajuk Perlindungan Profesional dan Amalan Rentas Sempadan yang bakal berlangsung di Badi’ah Hotel, esok (1 Mei).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan berkenaan, simposium ini dijangka akan dihadiri oleh 100 doktor perubatan dan pekerja-pekerja kesihatan dan dijangka hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional & Teknikal), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said.

Simposium berkenaan antara lain akan membentangkan isu-isu yang berkaitan dengan perubatan dan undang-undang, di samping mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan amalan perubatan di negara-negara lain, khususnya impak ‘mutual recognition agreement’ ASEAN ke atas profesion perubatan di negara-negara ahli.

Dalam pada itu, kenyataan turut memberitahu bahawa, Negara Brunei Darussalam melalui BMA juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat ke-16 Persatuan Perubatan ASEAN (MASEAN) di tempat yang sama pada 2 dan 3 Mei ini.

Ini merupakan julung-julung kalinya Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada mesyuarat tersebut, yang mana Persatuan Perubatan Brunei menyertai MASEAN pada tahun 2012.

Hampir 40 perwakilan dari persatuan-persatuan perubatan negara-negara anggota ASEAN dijangka menghadiri mesyuarat tersebut, yang akan membincangkan isu-su semasa berkaitan dengan bidang perubatan di negara-negara ASEAN dengan tema ‘Challenges in Training Future Healthcare Workforce’.

Menteri Kesihatan dijangka akan hadir sebagai tetamu kehormat pada Majlis Makan Malam yang akan diadakan di Restoran Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong pada 2 Mei.

BMA merupakan persatuan yang mewakili doktor-doktor dan profesion perubatan di negara ini, dan antara objektifnya adalah untuk memberi sokongan dan memelihara kebajikan ahli-ahlinya iaitu doktor-doktor perubatan di negara ini.

Di samping itu, ia memberi suara kepada profesion perubatan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Brunei, serta memupuk aktiviti sosial, kebajikan dan profesional di antara ahli-ahlinya.

Persatuan itu juga mendokong piawaian yang tinggi di dalam etika perubatan dan profesionalisme serta memberi kesedaran mengenai isu-isu kesihatan kepada masyarakat.