Simposium pendidikan a’bangsa labuh tirai

Simposium pendidikan a’bangsa labuh tirai

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Simposium Antarabangsa bagi Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif Politeknik Brunei ke-2 yang berlangsung selama dua hari, bermula Sabtu lalu, telah menutup tirainya hari ini di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah, Awang Alias ​​bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan sekolah, Pengurus Besar Brunei Press, Reggie See, dan para pegawai serta pensyarah Politeknik Brunei.

Majlis penutup dimulakan dengan sesi refleksi yang disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif (CiTL), Dr. Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid yang menggambarkan bagaimana simposium itu boleh digunakan oleh para peserta untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran menggunakan peralatan dan teknologi inovatif.

Beliau menegaskan bahawa keupayaan dan kemahiran dalam Maklumat Teknologi Komunikasi (ICT) dan menjadi inovatif dalam cara mengajar boleh digunakan sebagai salah satu daripada mekanisme daya tindak pendidik untuk melengkapkan diri mereka dan bersedia bagi perubahan yang sedang berlaku dalam dunia digital yang pantas berubah pada ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar-pelajar kita perlu menjadi pemikir yang inovatif, kreatif dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baru yang timbul dalam dunia hari ini dan untuk masa depan.

Awang Denis Ho Mun Tai (empat dari kiri) bergambar ramai bersama penceramah dan penaja simposium berkenaan.
Awang Denis Ho Mun Tai (empat dari kiri) bergambar ramai bersama penceramah dan penaja simposium berkenaan.
Dr. Malai Zeiti ketika menyampaikan sesi refleksi.
Dr. Malai Zeiti ketika menyampaikan sesi refleksi.
Profesor Grainne Conole menerima cenderahati daripada tetamu kehormat, Awang Denis Ho Mun Tai.
Profesor Grainne Conole menerima cenderahati daripada tetamu kehormat, Awang Denis Ho Mun Tai.

Menurutnya, hanya dengan melalui teknologi dan dilengkapi dengan kemahiran baru, kita dapat menangani sebarang masa depan.

Majlis penutup berkenaan turut menyaksikan tayangan klip video pendek dan foto mengenai simposium dua hari berkenaan, sebelum diikuti dengan tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada para penaja, peserta dari luar dan peserta Politeknik Brunei yang menghadiri simposium itu, serta cenderahati kepada penyampai ucaptama, Profesor Pendidikan dan Inovasi dan perunding dari United Kingdom, Profesor Grainne Conole. Antara penceramah pada simposium berkenaan ialah Dr. David Asirvatham dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur bertajuk Best Practices in Designing a Blended Learning Course.

Seramai 189 orang peserta telah menghadiri simposium itu termasuk pensyarah-pensyarah dari Politeknik Brunei dan Institut Sains Kesihatan PAP Rashidah Sa’adatul Bolkia, UBD, peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Brunei (UBD, UTB, UNISSA dan KUPU SB), dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dan wakil-wakil dari sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan juga sekolah rendah dan menengah swasta.

Melalui simposium itu, para peserta diharapkan dapat bertukar maklumat dan perkembangan terkini dalam latihan pengajaran yang inovatif antara peserta dan pembentang; untuk memindahkan dan melaksanakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi ke dalam latihan pengajaran semasa dan melengkapkan diri mereka dengan keupayaan untuk menggunakan teknologi baru serta untuk menerapkan kemahiran yang baru diperolehi ke dalam pengajaran mereka pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA