Simposium tingkat kualiti, kuantiti penyelidikan

Simposium tingkat kualiti, kuantiti penyelidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelidikan para pelajar Brunei di peringkat ijazah dan lepas ijazah di United Kingdom (UK) dan Eire, Persatuan Lepasan Ijazah Brunei di UK dengan kerjasama Imperial College Union Bruneian Society (ICUBS), London, baru-baru ini telah mengadakan Simposium Penyelidikan Pelajar-pelajar Brunei (BSRS) 2016.

Simposium yang berlangsung di Imperial College London itu turut disokong oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Unit Pelajar-pelajar Brunei serta Agensi Pelaburan Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin POKSM DSP Haji Abidin.

Turut hadir ialah para pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di UK, Unit Pelajar-pelajar Brunei dan Agensi Pelaburan Brunei di London.

Simposium bertema ‘Enhancing Research Prowess’ berkenaan dipengerusikan oleh Dayangku Nuramalina Hafizah binti Pengiran Haji Mumin dari Universiti Oxford dan dipengerusikan bersama oleh Awang Mohd Iznan bin Haji Tarip dari Universiti Lancaster.

Gambar ramai para penceramah simposium tersebut.
Gambar ramai para penceramah simposium tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, simposium telah dimulakan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Pembantu Naib Canselor dan Naib Presiden (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Brunei Darussalam, Profesor David Koh, yang menyentuh mengenai penyelidikan iklim di Brunei, terutamanya daripada pandangan UBD.

Beliau telah menekankan mengenai kepentingan penyelidikan sebagai kunci kepada pembangunan negara, dan menambah bahawa UBD sangat berminat untuk membantu para penyelidik dalam bidang ini.

Menurutnya lagi, kebanyakan penyelidikan yang dilaksanakan oleh UBD mempunyai potensi besar untuk mendapatkan paten serta dikomersialkan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan perbincangan mengenai topik ‘Globalising Brunei: Where are we in this interconnected world?’ yang menampilkan dua ahli panel iaitu Pengarah Urusan Fajr Capital, Javed Ahmed dan Pengarah Asia Inc Forum, Allen Lai.

Mereka telah berkongsi pengalaman mereka dibesarkan di Brunei kemudian mengembangkan diri mereka ke arena global.

Kedua-duanya menekankan bahawa Brunei telah mempunyai banyak potensi untuk menonjolkan diri ke arena global namun titik perubahan adalah dalam diri orang Brunei sendiri.

Satu nasihat utama yang diberikan adalah untuk sentiasa ingin memperbaiki diri sendiri, mengambil apa jua peluang dan tidak pernah meragui keupayaan diri.

Simposium kemudian diteruskan dengan 18 pembentangan dan tujuh pembentangan poster oleh para pelajar yang melanjutkan pengajian di UK.

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada dua pembentang terbaik iaitu Awang Ayyub Kamaludin dari Imperial College London dan Dayang Khairunnisa binti Ibrahim dari University of Oxford, dengan hadiah poster terbaik diberikan kepada Dayang Madihah binti Harun dari University of Reading.

Menurut kenyataan itu, simposium tersebut juga berfungsi sebagai platform unik bagi para pelajar menunjukkan penyelidikan mereka kepada yang lain, menjana perbincangan kualiti dalam kalangan jemputan mengenai bidang-bidang penyelidikan, untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelidikan pada masa depan.

BSRS 2016 adalah siri ke-3 yang diadakan sejak 2013 dan simposium ke-5 sejak 2009 termasuk Simposium Lepas Ijazah Brunei 2009 dan 2010.

ARTIKEL YANG SAMA