Sin Hup Huat buka cawangan baru

Sin Hup Huat buka cawangan baru

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Syarikat Sin Hup Huat (SHHCo), sebuah syarikat pakar dalam perkhidmatan dan penjualan tayar tempatan, mencatatkan sejarah penting apabila cawangan terbarunya, Tyre Factory Berakas, mula dibuka dan beroperasi di Taman Industri ‘Abraco, Jalan Berakas, hari ini.

Cawangan terbaru itu bukan sahaja memberikan kemudahan kepada para pelanggan yang tinggal berdekatan, malahan kepada pengusaha kenderaan berat di Mukim Berakas seperti pengusaha bas dan lori untuk mendapatkan perkhidmatan penggantian dan penjajaran tayar atau roda kenderaan mereka.

Hadir merasmikan pembukaan cawangan baru itu ialah Pengarah Kewangan syarikat, Jane Lee, Pengurus Operasi, Chris Tan serta para pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan.

Menurut Chris, cawangan itu bukan sahaja menyediakan pelbagai jenis tayar yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan tetapi juga dilengkapi pelbagai peralatan canggih termasuk mesin penjajaran roda terkini, Hawkeye, bagi memberikan perkhidmatan penjajaran yang lebih mudah, cepat dan tepat.

Di samping itu, Chris juga berkata cawangan itu bukan sahaja memberikan perkhidmatan tayar kepada kenderaan kecil, sederhana dan penumpang, tetapi ia juga mempunyai ruang khusus bagi memberikan perkhidmatan kepada kenderaan berat termasuk bas dan trak.

Jane (empat dari kiri) bersama pegawai dan kakitangan SHHCo semasa perasmian Tyre Factory Berakas.
Jane (empat dari kiri) bersama pegawai dan kakitangan SHHCo semasa perasmian Tyre Factory Berakas.
Pelbagai jenis rim dan tayar yang dijual di Tyre Factory Berakas.
Pelbagai jenis rim dan tayar yang dijual di Tyre Factory Berakas.

pg10_151012_d

Satu lagi keutamaan yang ditekankan oleh SHHCo, jelas Chris merupakan keselamatan para pelanggan dan kakitangan syarikat di mana pelbagai peralatan keselamatan moden disediakan oleh pihak syarikat bagi memastikan suasana kerja yang lebih efisien dan selamat.

Antara jenama tayar berkualiti yang ditawarkan termasuklah Michelin, Hankook, Nankang dan Triangle serta pelbagai jenama tayar berkualiti lain dengan harga berpatutan bagi memenuhi bajet dan keperluan semua jenis pelanggan.

Sementara itu, dengan mengetengahkan konsep atau susunan perkhidmatan tayar pertama di Brunei, Tyre Factory Berakas juga mempunyai ruang khusus atau pusat bagi menyediakan perkhidmatan tayar menyeluruh bagi trak dan bas yang bukan sahaja menukar tayar tetapi juga perkhidmatan penimbangan dan penjajaran roda.

Cawangan baru itu merupakan cawangan kelima SHHCo dengan rancangan untuk membuka cawangan keenam di kawasan Serusop dalam masa terdekat.

Sehubungan dengan pembukaan cawangan terbaru itu, SHHCo akan mengadakan pelbagai siri jualan istimewa dan promosi bagi pelanggan mereka. Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah berkunjung ke kedai tayar itu.

ARTIKEL YANG SAMA