Sindiket curi lukisan terbongkar

Sindiket curi lukisan terbongkar

ROM, 30 Dis – Polis Itali membongkar satu rangkaian mencuri lukisan berharga di lapangan terbang utama di Rom dengan dua kakitangannya sudah didakwa kerana mencuri karya seni itu.

Polis dalam kenyataan berkata, tukang cuci dan kakitangan perkhidmatan pelanggan dipercayai memperdaya penumpang yang membawa karya seni melalui kawasan bagasi besar.

“Orang mudah percaya kerana mereka mengenakan pakaian seragam yang biasa dipakai kakitangan lapangan terbang.

“Suspek kononnya memberitahu mereka menyediakan perkhidmatan tulen dan berjaya menipu mangsa,” kata polis.

Sebaik mangsa sedar apa yang berlaku, lukisan sudah pun hilang dan disembunyikan, sedia untuk dijual di pasaran gelap.

Sementara itu, dua lukisan artis kontemporari Ugo Attardi dan Renato Bagheria dari Itali, bernilai lebih daripada AS$55,000 yang dicuri, berjaya ditemui beberapa hari lalu. – Reuters