Sindiket dadah guna taktik ‘manis’

Sindiket dadah guna taktik ‘manis’

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Sept – Pelbagai taktik yang digunakan oleh sindiket-sindiket pengedaran dadah pada masa ini untuk memancing mangsa-mangsanya seperti dengan memberikan gajet terkini, telefon pintar, tablet, kad tambah nilai, kad iTunes secara percuma dan menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan tanpa mengira kelulusan mata pelajaran.

Selain itu, antara taktik lain juga adalah dengan menggunakan pengaruh rakan sebaya yang negatif terutamanya belia-belia yang suka melepak, berkumpul di mana-mana tempat di pusat beli-belah, kafe dan seumpamanya.

Taktik-taktik ini telah dikongsikan oleh Ketua Pegawai Narkotik II, cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, Dayangku Nurqalbi bin Pengiran Haji Soffian ketika ditemu bual Media Permata pagi tadi semasa Program Awasi Anak Kitani di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, Tutong.

Dayangku Nurqalbi juga menjelaskan golongan remaja dan belia adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat ini, seperti yang didapati daripada hasil penyelidikan yang dibuat oleh negara luar dan Biro Kawalan Narkotik (BKN).

Dayangku Nurqalbi dan rakan setugas ketika menyertai pameran bagi mewakili BKN dalam program Awasi Anak Kitani.
Dayangku Nurqalbi dan rakan setugas ketika menyertai pameran bagi mewakili BKN dalam program Awasi Anak Kitani.

Oleh itu, ujar beliau lagi, untuk membanteras aktiviti tersebut, BKN melalui Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah mempunyai strategi menangani isu tersebut yang mana semua penuntut di sekolah-sekolah rendah, menengah, dan institusi-institusi pengajian tinggi mahupun kerajaan dan swasta diberi penerangan maklumat dadah termasuk kesan-kesan buruk kepada penyalahgunaan dadah.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Program Kluster Tahun 5 dan 9, dan Forum SINAR bagi Tahun 7 juga dikendalikan pada setiap tahun.

Beliau juga menjelaskan bahawa melalui Program Awasi Anak Kitani yang diadakan ini, ia akan dapat mewujudkan kesedaran dan kepekaan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai pentingnya mengawal dan mencegah anak-anak mereka daripada terpengaruh dan seterusnya memberikan maklumat penting tentang keburukan dadah, sekali gus mengajar dan membantu mereka bagaimana untuk berdepan dengan anak-anak yang sudah terjerumus ke lembah yang membimbangkan itu.

Selain itu, program ini juga akan menjadi saluran bagi BKN untuk berinteraksi dengan masyarakat umum terutama sekali golongan ibu bapa dan mengawal anak mereka daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat.

ARTIKEL YANG SAMA