Sindiket jual telefon bimbit tiruan Samsung terbongkar

Sindiket jual telefon bimbit tiruan Samsung terbongkar

MIRI, 23 Jun (Bernama) – Sindiket menjual telefon bimbit disyaki tiruan menggunakan jenama Samsung berjaya dikesan di Sarawak buat pertama kali apabila 37 unit telefon bimbit serta tablet bernilai RM17,012 dirampas, di sini hari ini.

Ketua Penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Abdul Hafidz A. Rahim berkata serbuan telah dilakukan di tiga premis perniagaan berasingan pada pukul 11:50 pagi ini dan mendapati kesemua unit tiruan yang dirampas itu dijual dengan harga asal bagi telefon bimbit dan tablet yang asli antara RM800 hingga lebih RM2000.

“Ini kes yang pertama berlaku di Sarawak dan penjual ini turut meletakkan harga termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk meyakinkan pembeli yang produk itu asli walaupun sebenarnya tiruan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata antara model telefon bimbit tiruan Samsung yang dirampas ialah Galaxy Note 5, S7 dan Galaxy Tab yang dijual sama dengan harga bagi produk asli.

“Penjual yang menjual telefon bimbit ini tidak akan memberi tempoh jaminan kepada pengguna,” katanya.

Selain telefon bimbit dan tablet, Hafidz berkata, empat buah powerbank tiruan yang turut diletakkan jenama Samsung turut dirampas dengan setiap satunya dijual dengan harga RM30 sahaja.

“Kita telah dimaklumkan oleh wakil Samsung mengenai kegiatan ini yang semakin berleluasa,” katanya sambil menambah jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

Hafidz berkata KPDNKK kini sedang menyiasat dari mana sindiket tersebut mendapat sumber bekalan telefon serta tablet tiruan tersebut.

“Hasil risikan mendapati kegiatan ini telah beroperasi selama enam bulan serta bekalan telefon tersebut dari luar negara cuma kita hendak memastikan siapa pembekal dan dari mana ia dibawa masuk ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, KPDNKK akan membanteras kegiatan ini dengan agresif berikutan rampasan terbaru ini kerana jika dibiarkan akan menjejaskan imej negara terutama sekali isu harta intelek.