Sindiket penipuan bomoh kembali aktif

Sindiket penipuan bomoh kembali aktif

KUCHING, 16 Okt (Bernama) – Sindiket penipuan bomoh membabitkan warga China kembali aktif di Sarawak apabila dua kes dilaporkan berlaku di Kuching dan Padawan membabitkan kerugian sebanyak RM45,000 bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Yow Kok Khiang berkata daripada maklumat diperolehi, kes terbaharu itu melibatkan tiga suspek perempuan dan seorang lelaki warga China berusia dalam lingkungan 40-an.

“Sindiket serupa ini telah senyap seketika selepas satu sindiket berjaya ditumpaskan pada Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yow berkata modus operandi sindiket itu ialah anggota sindiket berkenaan akan mencari mangsa yang terdiri daripada kaum wanita berbangsa Cina berumur 45 hingga 70 tahun di pasar-pasar basah sekitar bandar raya Kuching dan Padawan.