Sinergi swasta, kerajaan bawa kejayaan

Sinergi swasta, kerajaan bawa kejayaan

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 10 Mei – Sinergi atau kerjasama antara pihak persendirian, swasta dan pihak kerajaan dapat menghasilkan pelbagai usaha yang mampu membantu perkembangan atau pembangunan masyarakat dan kawasan setempat serta menyatupadukan masyarakat supaya hidup dalam penuh harmoni.

Salah satu contoh sinergi ini ialah Bintudoh Greenspring Resort, Kampung Lamunin, Tutong yang merupakan usaha orang persendirian dengan kerjasama masyarakat setempat serta disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.

Kerjasama yang erat semua pihak yang berkenaan bukan sahaja dapat menjana kemajuan bagi kawasan dan penduduk setempat tetapi juga memberikan kesan kepada negara khususnya dalam mengembangkan sektor pelancongan negara, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Bercakap kepada Media Permata selepas Perasmian Bintudoh Greenspring Resort, Kampung Lamunin, Tutong, hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata, sinergi ini adalah penting untuk memajukan apa jua usaha termasuk resort di daerah-daerah kerana kita mempunyai banyak tempat-tempat menarik yang boleh dimajukan sebagai resort bukan sahaja bagi pelancong luar negara tetapi juga pelancong dalam negeri serta menggalakkan penyertaan daripada anak-anak kampung dan mukim sekitarnya sebagai strategi yang baik bagi mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan persefahaman di peringkat akar umbi, selaras dengan hasrat kementerian.”

Yang Berhormat Pehin menambah, sektor ekopelancongan merupakan salah satu sektor pelancongan yang menunjukkan perkembangan yang positif dan dengan perasmian sebuah lagi destinasi ekopelancongan di Brunei, khususnya di Daerah Tutong, ia akan menambah jumlah destinasi pilihan bagi pelancong-pelancong luar dan dalam negara.

Beliau berkata bahawa sektor ekopelancongan sudah membangun dengan baik di Daerah Temburong dan berharap sektor itu juga dapat dikembang majukan lagi di Daerah Belait dan juga Daerah Brunei dan Muara.

Yang Berhormat Pehin percaya bahawa sektor eko pelancongan ini mampu menjadi salah satu sumber pendapatan bagi penduduk dan masyarakat setempat.

Pengunjung ke destinasi pelancongan itu boleh mendapatkan produk-produk cenderahati buatan masyarakat setempat atau produk hasil penduduk kampung serta juga memperoleh pendapatan daripada mengadakan persembahan-persembahan kebudayaan.

“Para penduduk, tanpa mengira usia, boleh memperoleh pendapatan tambahan walaupun tidak begitu tinggi hasil daripada mengadakan persembahan kebudayaan bagi para pengunjung ke kawasan-kawasan pelancongan seperti di Bintudoh Greenspring Resort ini.”

Di samping itu juga, ulas Yang Berhormat Pehin, usaha itu mampu untuk menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum untuk sama-sama mempamerkan adat resam dan kebudayaan masing-masing di atas platform perpaduan dan kehidupan penuh harmoni.

ARTIKEL YANG SAMA