Singapura, Australia kukuhkan perjanjian pertahanan

Singapura, Australia kukuhkan perjanjian pertahanan

CANBERRA, Australia, 12 Okt – Perdana menteri Singapura melawat Australia hari ini untuk mempertingkat perjanjian perdagangan bebas dan memuktamadkan satu perjanjian yang akan menambah dua kali ganda kapasiti pusat latihan tentera Singapura di kawasan tropika Australia.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong memberitahu Parlimen Australia bahawa China adalah rakan perniagaan terbesar kedua-dua negara, yang juga sekutu Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull berkata kedua-dua negara berkongsi prospek strategik yang umum. Beliau mengkritik tuntutan wilayah China yang agresif di Laut China Selatan dan keengganannya untuk mematuhi undang-undang antarabangsa untuk menyelesai tuntutan bersaingan itu.

Australia mengumumkan pada Mei Singapura akan membelanja sehingga 2.25 bilion dolar Australia untuk menambah dua kali ganda kapasiti kemudahannya dalam bidang latihan tentera di negeri Queensland. Ia akan membenarkan 14,000 tentera Singapura dilatih di Australia sehingga 18 minggu setahun.

Malcolm Turnbull berjabat tangan dengan Lee Hsien Loong semasa mesyuarat dua hala di Rumah Parlimen di Canberra, Australia, kelmarin. – AP
Malcolm Turnbull berjabat tangan dengan Lee Hsien Loong semasa mesyuarat dua hala di Rumah Parlimen di Canberra, Australia, kelmarin. – AP

“Keputusan kami untuk memberikan Singapura tahap kemasukan khas menjadi dasar kepercayaan dan penghormatan kami yang wujud di antara angkatan bersenjata negara masing-masing,” kata Turnbull. “Ia juga mencerminkan komitmen kami untuk melakukan lebih sebagai rakan keselamatan, terutamanya apabila keadaan strategik kami berubah.”

Australia dan Amerika Syarikat pada minggu lalu mencapai satu perjanjian perkongsian kos untuk membayar lebih daripada AU$2 bilion dalam infrastruktur yang perlu dibina berhampiran bandar utara Darwin untuk menempatkan sehingga 2,500 anggota Marin AS.

Jumlah marin yang menjalani latihan bergilir-gilir di pusat latihan Darwin telah meningkat sejak kontinjen pertama yang terdiri daripada 200 orang melawat selama enam bulan pada 2012. Australia adalah negara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Singapura apabila negara kota itu mencapai kemerdekaan pada 1965 dan negara berkenaan mempunyai hubungan pertahanan dan komersial yang lama. Perjanjian perdagangan bebas dua hala mereka ditandatangani pada 2003. – AP