Singapura baham Laos

Singapura baham Laos

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Kumpulan B Festival Bola Sepak Serantau B-14 AFC 2015 di sini semalam menyaksikan Singapura menundukkan Laos 1-0 di Kompleks Sukan Berakas (KSB).

Kedua-dua pasukan sudah pun bermain pada hari pertama festival pada 18 Ogos yang lalu dengan keputusan Singapura tewas 1-2 kepada Vietnam manakala Laos tewas dengan jaringan yang sama kepada Thailand.

Maka dalam pertemuan dua pasukan yang tewas dalam perlawanan pembukaan masing-masing itu menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit untuk mencapai kemenangan sehinggakan hanya satu gol memisahkan antara keduanya.

Gol tunggal dan kemenangan Singapura itu hadir sejurus perlawanan separuh masa kedua bermula iaitu melalui sepakan percuma dari luar kotak berbahaya Laos.

Sepakan yang diambil oleh Mohd Nabil Fikri bin M Izaham dalam keadaan cuaca hujan itu melambung tinggi melangkaui jangkauan penjaga gol Laos lalu menerjah sudut atas kiri gawang Laos.

Perlawanan berikutnya bagi Kumpulan B adalah Laos menentang Vietnam esok (Jumaat) bermula jam 4 petang di KSB. – Hasrulraizan

Singapura (merah) menentang Laos dalam saingan Kumpulan B di KSB semalam.
Singapura (merah) menentang Laos dalam saingan Kumpulan B di KSB semalam.