Singapura diselubungi jerebu

Singapura diselubungi jerebu

SINGAPURA, 26 Ogos – Asbut menyelubungi Singapura hari ini tatkala negara kota itu dilanda wabak jerebu pertama pada tahun ini, krisis tahunan yang dicetuskan oleh kebakaran hutan di negara jiran Indonesia.

Indeks kualiti udara Singapura mencecah tahap tidak sihat dengan keadaan semakin merosot setiap hari, menandakan kedatangan semula jerebu paling teruk ke bandar itu sejak sebahagian besar negara Asia Tenggara terjejas pada 2015.

Jerebu yang menusuk hidung pada tahun lalu adalah antara yang paling teruk, menyelubungi Malaysia, Singapura dan sebahagian Thailand.

Kebakaran dimulakan untuk membersihkan tanah, biasanya untuk ladang kelapa sawit dan kayu pulpa, dan Indonesia telah menerima kritikan paling teruk daripada negara jirannya disebabkan kegagalannya untuk menghentikan wabak asbut tahunan.

Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura berkata Indeks Standard Pencemar (PSI) mencecah pada paras tidak sihat iaitu 215 semasa hari itu.

Pemandangan Teater Esplanade yang diselubungi jerebu di Singapura, kelmarin. – AFP
Pemandangan Teater Esplanade yang diselubungi jerebu di Singapura, kelmarin. – AFP

Paras PSI melebihi 100 dianggap tidak sihat dan orang dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar.

NEA menambah yang asap tersebut datangnya daripada kebakaran di tengah Sumatera, pulau Indonesia hanya seberang Semenanjung Melaka dari Singapura.

Kepulan asap kelabu menyelubungi seluruh pulau, diiringi oleh bau pembakaran dedaun yang menusuk hidung.

Jarak penglihatan dari pejabat pencakar langit dan tempat tinggi lain adalah sifar. Seorang jurugambar AFP berkata beliau tidak dapat melihat latar langit daripada salah satu tempat tertinggi di bandar di Mount Faber.

Asbut juga kelihatan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, dalam tempoh beberapa hari pada minggu lalu tetapi tidak mencecah tahap tidak sihat. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA