Singapura gesa wanita mengandung jalani ujian virus Zika

Singapura gesa wanita mengandung jalani ujian virus Zika

SINGAPURA, 31 Ogos – Singapura hari ini menggesa semua wanita mengandung yang menunjukkan gejala demam atau ruam supaya menjalani ujian untuk virus Zika selepas beberapa kes di negara kota itu meningkat kepada 82.

Amerika Syarikat dan Britain menyertai Australia dan Taiwan dalam menasihati wanita mengandung supaya mengelak perjalanan tidak penting ke Singapura, sementara pakar kesihatan tempatan memberi amaran kadar jangkitan mungkin meningkat.

Seorang jurucakap bagi Singapore Grand Prix berkata perlumbaan malam Formula One akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 16-18 September.

“Kami akan terus bekerja dengan semua agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan mengimplementasikan semua langkah berjaga-jaga yang disarankan,” katanya.

Pekerja agensi alam sekitar mempertingkat usaha untuk menghapus nyamuk yang merebak penyakit tersebut, menambah kempen pewasapan yang menumpu pada “kawasan sasaran” wabak, timur pinggir bandar Aljunied.

Tatkala jangkitan meningkat, mereka mewasap gudang daerah dan bangunan perindustrian di Kallang memusnah tapak pembiakan yang mencetuskan wabak berkenaan, yang bermula di tapak pembinaan yang menempatkan pekerja asing.

Zika, yang telah dikesan di 58 buah negara termasuk Brazil, mengakibat gejala ringan untuk kebanyakan orang, seperti demam dan ruam.

Namun bagi wanita mengandung, ia boleh mengakibat mikrosefali, kecacatan di mana anak damit yang dilahirkan dengan otak dan kepala yang kecil.

Kementerian kesihatan berkata “semua wanita mengandung di Singapura dengan gejala Zika – demam dan ruam dan gejala lain seperti mata merah atau sakit sendi” harus diuji untuk jangkitan tersebut. Wanita mengandung dengan pasangan lelaki yang telah diuji positif juga diberitahu supaya berjumpa dengan doktor mereka.

“Kami menasihatkan wanita mengandung supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gigitan nyamuk dan mendapatkan rawatan doktor dengan serta merta jika mereka mengalami gejala berkenaan,” kata kementerian dalam satu kenyataan lewat semalam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA