Singapura hos Kejohanan Renang Remaja Dunia Ogos ini

Singapura hos Kejohanan Renang Remaja Dunia Ogos ini

SINGAPURA, 18 Jun – Peminat sukan renang berpeluang menyaksikan aksi yang teruja pada Ogos ini apabila perenang remaja terbaik dunia berentap di Singapura pada Kejohanan Remaja Dunia kelima FINA.

Kejohanan tersebut, acara global dwitahunan itu akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 30 Ogos 2015 di Pusat Akuatik OCBC di sini.

Acara itu akan menyaksikan lebih 1,000 perenang daripada lebih 100 negata beraksi – jumlah peserta paling banyak pernah dicatatkan.

Kejohanan itu diadakan buat julung kali pada 2006 dan diteruskan untuk membolehkan perenang muda berusia 14 hingga 18 tahun mengasah bakat mereka dengan menyertai kejohanan bertaraf elit.

Ketika mengumumkannya hari ini, Pengarah Eksekutif FINA, Cornel Marculescu berkata: “Kejohanan Remaja Dunia FINA masih baharu tetapi dalam masa kurang satu dekad, kita telah menyaksikan kebangkitan bakat-bakat yang cemerlang.”

Beliau berkata kebanyakan perenang ini menyertai kejohanan bertaraf global buat kali pertama dan pengalaman ini akan memanfaatkan mereka dan meningalkan kenangan sepanjang hayat dan ikatan persahabatan tanpa sempadan.

“Sejarah kejohanan telah menyaksikan kira-kira 500 perenang menyertai setiap edisi tetapi tahun ini, saya sangat gembira kerana jumlahnya telah meningkat.

“Ini menunjukkan bahawa kami telah membuat keputusan yang betul untuk memilih Singapura menghoskan kejohanan edisi kelima ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai keputusan untuk menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia FINA di Singapura, Lee Kok Choy, Presiden Persatuan Renang Singapura jelas amat gembira dan bersedia bagi cabaran itu.

Beliau berkata, kejohanan itu akan menampilkan Singapura dalam arena akuatik global serta mengukuhkan pembangunan dan peningkatan perenang-perenang muda di sini.

Sebagai sebahagian daripada pengumuman di Kallang Wave Mall, Persatuan Renang Singapura juga mengumumkan bahawa jaguh renang yang merangkul pelbagai pingat Joseph Schooling dilantik sebagai duta negara bagi kejohanan itu.

Tiket bagi menyaksikan kejohanan itu boleh diperoleh dengan melayari http://www.sportshub.com.sg/sportshubtix/Pages/Home.aspx. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA