Singapura kecam Iran

Singapura kecam Iran

SINGAPURA, 18 Mei – Singapura hari ini mengecam tentera Iran kerana melepaskan tembakan amaran di Teluk pada sebuah kapal komersial berdaftar di negara kota Asia itu, menggelarnya satu “pencabulan serius undang-undang antarabangsa.”

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) juga menggesa Tehran supaya menyiasat kejadian pada Khamis yang membabitkan kapal Alpine Eternity yang dikatakannya berada di perairan antarabangsa.

“Berhubung kejadian tembakan yang dilaporkan pada 14 Mei 2015, membabitkan kapal tangki yang berdaftar di Singapura “Alpine Eternity” yang berlaku di perairan antarabangsa, Singapura amat bimbang dengan tindakan sedemikian,” kata MPA dalam satu kenyataan.

“Campur tangan sedemikian dengan hak pengemudian adalah satu pencabulan serius undang-undang antarabangsa,” katanya.

“Kebebasan pengemudian dan aliran bebas perniagaan adalah amat penting kepada Singapura dan negara maritim dan perniagaan lain,” tambahnya.

MPA berkata ia telah “meminta pihak berkuasa maritim Iran supaya menyiasat kejadian itu dan mengelak ia daripada berulang pada masa depan.”

Dalam kejadian itu, Pengawal Revolusi Iran melepaskan tembakan amaran melepasi badan kapal tangki sebelum kapal dari Amiriah Arab Bersatu datang membantu, menurut pegawai AS.

Setelah mendengar panggilan radio meminta bantuan, Amiriah Arab Bersatu menghantar kapal pengawal pantai untuk membantu kapal tangki dan bot Iran seterusnya meninggalkan kawasan berkenaan.

Kapal Iran jelasnya cuba memintas kapal itu untuk menyelesaikan perbalahan undang-undang mengenai pelantar minyak Iran yang dirosakkan pada 22 Mac.

Seorang pegawai Iran berkata pada Jumaat Alpine Eternity, yang dikendalikan oleh Transpetrol TM AS Norway, telah terlanggar pelantar di Teluk selepas terbabas dari haluannya.

Habib Jadidi, pengarah operasi padang gas South Pars di Iran, berkata Transpetrol dimaklumkan mengenai kerosakan bernilai $300 juta kepada pelantar minyak tetapi masih belum mengambil langkah-langkah untuk membayar pampasan, menurut satu laporan oleh Shana, saluran berita milik kementerian minyak Tehran. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA