Singapura, Malaysia komited

Singapura, Malaysia komited

SINGAPURA, 5 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi komitmen kedua-dua negara dalam memastikan kejayaan projek rel berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan republik itu dan Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Singapura-Malaysia di sini, kedua-dua pemimpin bagaimanapun berkata sasaran awal projek itu dijadual siap pada 2020 perlu dinilai semula berdasarkan skala dan kompleksnya projek itu.

HSR adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan telah mendapat banyak perhatian, baik di dalam negara mahupun antarabangsa, dengan banyak negara menawarkan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka bagi projek itu.

Kedua-dua pemimpin juga amat teruja dengan sokongan dan perhatian daripadakomuniti global dan tidak sabar untuk meneruskan projek ikonik pencetusperubahan itu, yang akan menambah baik rangkaian perhubungan, memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura dan pada masa sama meningkatkan rangkaian perniagaan serta mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Mengambil perhatian perkembangan projek itu berjalan lancar, kedua-dua pemimpin berkata persetujuan telah dicapai bagi dwikonfigurasi lokasi bersama Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jalur frekuensi khusus untuk operasi HSR serta mengenal pasti lokasi depot dan kemudahan yang stabil di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika sidang media bersama sempena Pemukiman ke-6 Pemimpin Malaysia-Singapura di Hotel Shangri-La hari ini. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika sidang media bersama sempena Pemukiman ke-6 Pemimpin Malaysia-Singapura di Hotel Shangri-La hari ini. – Bernama

Sementara itu, Lee mengumumkan perhentian terakhir HSR Singapura adalah di Jurong Timur, yang bersesuaian dengan rancangan keseluruhan Singapura untuk mentransformasi kawasan itu menjadi Daerah Pusat Perniagaan yang kedua.

Mengenai Iskandar Malaysia, kedua-dua pemimpin mengakui ia merupakan wilayah strategik yang penting bagi kedua-dua negara dan menyambut baik kemajuan dicapai Kumpulan Kerja di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia Singapura (JMC) bagi Iskandar Malaysia.

Mereka turut mengambil perhatian berhubung keputusan JMC untuk menjalankan kajian tentang kesesakan di Tambak termasuk mengkaji langkah yang boleh diambil untuk menambah baik jalinan perhubungan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut memuji usaha dilakukan Kumpulan Kerja Imigresen bagi JMC yang mahu mengurangkan kesesakan di Tambak dan Lebuhraya Laluan Kedua Singapura-Malaysia dan pada masa sama turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan.

Kedua-dua negara juga komited untuk mengurangkan kesesakan dan telah mengambil pelbagai langkah untuk mencapainya.

ARTIKEL YANG SAMA