Singapura musnahkan gading bernilai AS$9 juta

Singapura musnahkan gading bernilai AS$9 juta

SINGAPURA, 13 Jun (AFP) – Singapura telah menghancurkan dan membakar hampir lapan tan gading, hari ini, yang dirampas dalam tempoh dua tahun untuk cuba menghalang para penyeludup, ketika para aktivis menggesa bagi penguatkuasaan yang lebih ketat.

Lebih 2,700 gading gajah seberat 7.9 tan dimasukkan ke dalam penghancur batu besar perindustrian sebelum dibakar.

Itu adalah kali pertama gading yang telah dirampas dimusnahkan di Singapura, menurut Pihak Berkuasa Agri-Makanan dan Veterinar dalam satu kenyataan.

Perampasan sebelumnya telah dikembalikan ke negara asal, didermakan kepada muzium atau disimpan bagi pendidikan.

Gading-gading itu dianggarkan bernilai Sg$13 juta (AS$9.6 juta) telah dirampas dalam empat kejadian berasingan antara Januari 2014 dan Disember 2015.

Para pekerja menyediakan gading rampasan untuk dimusnahkan menggunakan mesin penghancur batu di Singapura pada 13 Jun. – AFP
Para pekerja menyediakan gading rampasan untuk dimusnahkan menggunakan mesin penghancur batu di Singapura pada 13 Jun. – AFP

Pada bulan Mei 2015 kira-kira 2,000 gading ditemui disembunyikan dalam penghantaran daun teh dari Kenya.

Singapura boleh melakukan lebih untuk menguatkuasakan undang-undang ketat antipenyeludupan, menurut pengarah perhubungan WWF-Singapura, Kim Stengert.

“Terdapat penghantaran ha-ram berhubung hidupan liar yang didapati di pelabuhan lain selepas ia melalui Singapura. Dengan itu kita perlu meningkatkan usaha untuk menguatkuasakan peraturan ketat,” katanya lagi.

Perdagangan gading telah diharamkan sejak 1989 oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam, yang mana Singapura adalah negara yang juga turut menandatanganinya.