Singapura pemangkin RMB di Asia Tenggara

Singapura pemangkin RMB di Asia Tenggara

SINGAPURA, 6 Nov (Bernama) – Singapura boleh terus memainkan peranan pemangkinan bagi menggalakkan penggunaan renminbi (RMB) di Asia Tenggara dan rantau lebih luas, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Beliau berkata bank Singapura berada di kedudukan baik untuk membantu syarikat China dalam pengembangan mereka di ASEAN, berikutan pengetahuan mendalam bank tentang rantau ini yang diraih menerusi jaringan kerja yang luas dan operasi selama bertahun-tahun.

“Hari ini Singapura adalah hab luar pesisir RMB terbesar selepas Hong Kong dan menawarkan rangkaian produk dalam nilai RMB yang luas.”

Deposit RMB di Singapura mencecah RMB322 bilion pada Jun 2015 dan kini RMB antara lima mata wang paling banyak didagangkan di Singapura,” kata Heng dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Komoditi dan RMB China & Singapura, di sini hari ini.

Heng berkata Singapura memiliki pasaran hadapan RMB FX yang cergas yang merekodkan keseluruhan dagangan bernilai lebih US$19 bilion (sekitar RMB120 bilion) sejak pelancaran pada Oktober 2014.

Katanya dalam pasaran modal, jumlah terbitan bon RMB luar pesisir di Singapura (juga dikenali bon ‘Lion-City’) bernilai sekitar RMB50 bilion setakat suku kedua 2015.