Singapura pikat pelancong Brunei

Singapura pikat pelancong Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Sebut sahaja Singapura, sudah terbayang panorama indah Merlion Park yang menempatkan arca Singa di persisiran laut di samping kemajuan bandar raya Singapura yang tersergam indah.

Keindahan itu dapat dibayangkan oleh para pengamal media tempatan apabila mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Negara Filipina dan Brunei, bagi Badan Pelancongan Singapura, Adrian Kong semasa sidang media mengenai perkembangan terkini pelancongan Singapura 2016 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Hotel Antarabangsa Rizqun.

Dalam taklimatnya, Adrian Kong berkata, setiap tahun Singapura sentiasa berkembang daripada unsur perniagaan, pendidikan, pelancongan dan banyak lagi. Antara yang diketengahkannya semasa taklimat berkenaan ialah perkembangan terkini pelancongan keluarga ke Singapura.

Menurutnya, apa yang menarik di Singapura pada tahun ini adalah, buat pertama kalinya, burung laut Antartika dalam animasi ‘Pororo the Little Penguin’ tiba di Asia Tenggara dengan terbinanya Taman Pororo yang menampilkan watak animasi daripada rancangan televisyen sangat popular di Korea Selatan, yang disiarkan di 130 buah negara.

Ia terletak di tingkat dua bangunan baru pusat membeli belah Marina Square, dan dengan keluasan 11,000 kaki persegi, taman tersebut menyediakan pelbagai kegiatan termasuk permainan bertema, kelas-kelas pendidikan dan juga pertunjukan pentas.

Adrian Kong ketika menyampaikan taklimat mengenai perkembangan terkini pelancongan Singapura.
Adrian Kong ketika menyampaikan taklimat mengenai perkembangan terkini pelancongan Singapura.

Selain itu, Kidzania Singapura yang bakal dibuka tidak lama lagi, akan menampilkan keunikannya yang tersendiri berbeza dengan Kidzania di negara-negara lain, tambah Adrian Kong.

“Kidzania yang terletak di Sentosa itu sangat berbeza dengan taman-taman permainan kanak-kanak yang lain, di mana kanak-kanak boleh mendapatkan pengalaman kehidupan dewasa dan padat dengan pelbagai permainan menarik, aktiviti akademik, dan banyak lagi.”

Di samping tarikan-tarikan terbaru itu, sebanyak 12 acara festival dianjurkan setiap tahun iaitu Minggu Seni Singapura pada Januari, Lunar New Year Chingay pada Februari, The Great Egg-Venture pada Mac, Tulipmania pada April, Mega Fashion Event pada Mei, Great Singapore Sale pada Jun, Singapore Food Festival di bulan Julai, Singapore Night Festival di bulan Ogos, Singapore Grand Prix di bulan September, WTA Finals pada Oktober, Singapore Biennale pada bulan November dan Festival Light Up dalam bulan Disember.

Andrian Kong berkata, dalam perkiraan terkini, lebih 70,000 pelancong Brunei tiba Singapura dan angka ini meningkat dari setahun ke setahun.

Menyentuh mengenai makanan halal, beliau berkata, para pelancong yang beragama Islam tidak perlu khuatir, kerana makanan halal tidak asing lagi di Singapura.

Ditanya mengenai dengan isu-isu pengganas, beliau berkata, Singapura sentiasa memperketat keselamatan demi mempertahan negaranya dan menekankan bahawa para pelancong tidak perlu bimbang.

ARTIKEL YANG SAMA