Singapura sekat akses Internet komputer kerajaan

Singapura sekat akses Internet komputer kerajaan

SINGAPURA, 8 Jun – Singapura mengesahkan hari ini, ia akan memotong akses Internet bagi stesen kerja kerajaan dalam masa setahun atas alasan keselamatan, satu langkah mengejutkan di negara yang terkenal dengan paling banyak menggunakan Internet di dunia.

Keputusan itu tidak akan mengganggu operasi kerajaan, kata Penguasa Pembangunan Infocomm (IDA) selepas akhbar tempatan The Straits Times melaporkan bahawa kira-kira 100,000 komputer akan terjejas.

“Kami sudah memulakan untuk mengasingkan akses Internet dari stesen kerja ke atas kumpulan terpilih bagi beberapa pegawai perkhidmatan awam, dan juga akan seterusnya melakukan hal yang sama kepada kalangan pegawai perkhidmatan awam secara progresifnya dalam tempoh satu tahun,” kata IDA dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan AFP.

Sumber industri mengatakan langkah itu adalah bertujuan untuk mencegah serangan siber serta penularan malware yang mungkin memasuki rangkaian e-mel kerajaan menerusi stesen kerja yang dapat akses Internet.

Singapura merupakan salah satu negara di dunia yang mempunyai masyarakat celik Internet, menawarkan kelajuan jalur lebar yang diidamkan oleh ramai.

Sebahagian besar perkhidmatan kerajaan boleh didapati secara online, termasuk pendaftaran bagi perkahwinan, memfailkan aduan kepada polis dan konsultasi video bersama para doktor.

Perkhidmatan kerajaan tidak akan terganggu oleh langkah keselamatan ini, menurut sumber yang rapat dengan rancangan tersebut.

The Straits Times berkata perkhidmatan awam masih boleh mengakses Internet dalam peranti peribadi mereka seperti tablet dan telefon pintar. – AFP