Singapura turunkan unjuran pertumbuhan 2.0-2.5 peratus

Singapura turunkan unjuran pertumbuhan 2.0-2.5 peratus

SINGAPURA, 11 Ogos – Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini mengumumkan penurunan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar(KDNK) Singapura bagi 2015 kepada 2.0 hingga 2.5 peratus.

Dalam laporan prestasi suku kedua 2015 hari ini, MTI berkata ekonomi Singapura berkembang 1.8 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua, lebih perlahan berbanding 2.8 peratus dalam suku sebelumnya.

Bagi suku ke suku, MTI berkata ekonomi menguncup sebanyak 4.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku sebelumnya. Sektor pembuatan turun sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun meneruskan penurunan 2.4 peratus pada suku sebelumnya.

Mengenai prospek masa depan, MTI berkata ekonomi global mencatatkan prestasi lebih lemah daripada yang dijangkakan pada separuh pertama 2015.

Bagi baki selebihnya tahun ini, ia berkata pertumbuhan global dijangka meningkat perlahan-lahan walaupun kemajuannya dijangka tidak menentu.

Ekonomi-ekonomi maju terutamanya dijangka mencatatkan peningkatan pertumbuhan beransur-ansur, manakala prospek pertumbuhan ekonomi serantau secara umumnya perlahan.

Di Asia, pertumbuhan China diunjurkan lemah, dipengaruhi oleh pembetulan pasaran hartanah sekarang dan lebihan kapasiti dalam industri berat.

Bagaimanapun,langkah-langkah rangsangan yang dilaksanakan kerajaan China dijangka dapat membendung tekanan menurun ekonominya.

Sementara itu, pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama ASEAN dijangka terjejas oleh permintaan lemah dari China serta pengurangan permintaan domestik. Pada masa yang sama, beberapa risiko menurun utama dalam persekitaran ekonomi luaran dijangka berterusan.

MTI berkata dengan harga komoditi rendah, peningkatan dolar AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah AS, negara-negara serantau dijangka berdepan aliran keluar modal dan akan memberi tekanan kepada mata wang serta aset pasaran mereka.

Dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, MTI berkata unjuran pertumbuhan 2015 bagi ekonomi Singapura diturunkan kepada 2.0 hingga 2.5 peratus, daripada 2.0 hingga 4.0 peratus. – Bernama