Singapura wujudkan TSIB

Singapura wujudkan TSIB

SINGAPURA, 5 Ogos – Singapura telah menstrukturkan semula Biro Siasatan Nahas Udara (AAIB) untuk mewujudkan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB), 1 Ogos lepas.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata TSIB akan mengendalikan penyiasatan yang melibatkan kemalangan udara dan laut, secara berasingan atau tidak, daripada sebarang prosiding kehakiman atau kawal atuaran, dan membuat saranan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan udara dan laut.

“Bahkan, objektif utama penyiasatan TSIB adalah untuk mencegah kemalangan, ia bukan bertujuan untuk mencari kesalahan atau liabiliti.

“Negara seperti Australia, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat mempunyai biro yang serupa,” kata kementerian tersebut.

Sejak pembentukannya pada 2002, AAIB telah mengendalikan dan menyertai penyiasatan pelbagai kemalangan udara selain memberi sumbangan kepada peningkatan keselamatan perjalanan udara di Singapura, tambahnya.

Menurut MOT, TSIB akan terus memanfaatkan kerja AAIB yang baik, dan biro baharu itu akan mengambil alih peranan dalam mengendalikan penyiasatan bebas bagi keselamatan kemalangan laut, daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA), dan membuat saranan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan laut.

MPA akan terus menyiasat kemalangan laut bagi memastikan peraturan ke atas kapal yang mengguna perairan Singapura dan kapal milik Singapura, dipenuhi, tambah beliau. – Bernama