Sinnathamby minat bangunkan bandar raya Malaysia

Sinnathamby minat bangunkan bandar raya Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) – Pemaju perumahan kelahiran Malaysia, Maha Sinnathamby, yang kini sedang membangunkan bandar raya terbesar di Australia, Greater Springfield, berminat membangunkan bandar raya di negara ini jika mendapat peluang.

Sinnathamby, 75, dilahirkan di Rantau, Negeri Sembilan.

Beliau adalah pengasas dan pengerusi Greater Springfield Land Corp Pty berhampiran Brisbane. Pemaju yang masih sayangkan Malaysia itu berkata, negara ini mempunyai potensi untuk terus berkembang.

Katanya, Malaysia mempunyai banyak kaum dan terdapat banyak kawasan yang berpotensi dikembangkan menjadi bandar raya.

Sinnathamby di hadapan model pembangunan Great Springfield - Agensi
Sinnathamby di hadapan model pembangunan Great Springfield – Agensi

“Saya sentiasa ada rancangan untuk membangunkan sebuah bandar di sini, tetapi malangnya tidak ada masa untuk saya melakukannya sekarang,” katanya kepada Bernama selepas dianugerahkan ‘The BrandLaureate Premier Brand ICON Leadership Award 2015’ di sini baru-baru ini.

BrandLaureate Brand ICON Leadership Award mengiktiraf pemimpin dalam bidang masing-masing yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan komuniti mereka.

Sinnathamby berkata, Malaysia perlu menjadi contoh terbaik kepada Asia kerana negara ini mempunyai sumber yang banyak, iklim yang baik, masyarakat pelbagai kaum serta bakat yang menjadinya kaya.

Projek Greater Springfield Sinnathamby telah diumum sebagai projek komuniti dirancang terbaik dunia oleh Persekutuan Hartanah Antarabangsa. Setakat ini ia telah menarik pelaburan lebih A$11 billion (A$1=RM3.12) daripada pelabur awam dan swasta, termasuk jalan kereta api A$2.6 bilion dibiayai kerajaan ke Brisbane.

ARTIKEL YANG SAMA